Tetak rakan, enggan bayar hutang RM20

KUALA TERENGGANU 27 April – Seorang lelaki bukan sahaja dilanggar malah ditetak sehingga cedera parah hanya kerana mahu menuntut hutang RM20 daripada rakannya berhampiran Kampung Binjai, Dungun semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika mangsa berusia 40-an pergi menemui rakannya itu.

Menurut Manoharan, bagaimanapun suspek yang ditemani tiga rakannya enggan membayar hutang tersebut sehingga berlaku pertengkaran.

“Oleh kerana tidak mahu berpanjangan, mangsa mengambil keputusan untuk beredar. Namun suspek tetap tidak berpuas hati dan menaiki sebuah kereta bersama rakan-rakannya lalu mengejar dan melanggar motosikal mangsa sehingga terjatuh.

“Mangsa kemudian diserang dan ditetak di bahagian kepala, leher dan tangan dipercayai menggunakan parang dan kapak,” katanya di sini hari ini.

Manoharan memberitahu, mangsa seterusnya menggagahkan diri untuk menunggang motosikal pulang ke rumahnya dan sempat menceritakan kejadian yang berlaku kepada anak saudaranya sebelum pengsan.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan namun terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini disebabkan keadaannya yang masih kritikal,” katanya.

Manoharan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

“Polis telah mengenal pasti kesemua suspek yang terlibat dan sedang memburu mereka,” katanya yang turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu bagi membantu siasatan.