Terry kecam Benitez

London: Kapten Chelsea John Terry tidak puas hati selepas Rafa Benitez mendakwa dia tidak cergas.


Pengurus sementara Chelsea itu mendakwa Terry jarang diturunkan kerana kerap tidak turun latihan.

Bagaimanapun Terry mengecam dakwaan dibuat Benitez.

“Saya mahu membetulkan semula kenyataannya. Saya cergas dan berlatih setiap hari termasuk tiga bulan terakhir. Saya boleh beraksi dua atau tiga kali seminggu.” Pemain pertahanan tengah berusia 32 tahun itu menjadi pemain simpanan 13 kali sejak pulih daripada kecederaan lutut 12 Januari lalu.

Benitez yang mempertikaikan rekod Alex Ferguson di Manchester United dengan fakta yang salah pada 2009 kerap mendakwa Terry tidak cukup cergas.

Selepas Terry menyumbat dua gol ketika Chelsea menang 3-0 di Fulham dalam aksi Liga Perdana Rabu lalu, Benitez berkata: “Saya memberitahu JT, jika dia boleh berlatih setiap minggu ia akan memudahkan saya menurunkannya pada setiap perlawanan.”

Kenyataan itu susulan komen Benitez Februari lalu yang menggesa Terry perlu lebih kerap berlatih dengan pasukan.

Pada bulan sama dua individu itu bertengkar di padang latihan selepas Chelsea kalah 0-2 di tangan Manchester City.

Terry juga menyindir Benitez dengan memuji pengurus Liverpool Brendan Rodgers yang pernah menjadi jurulatih skuad simpanan Chelsea.

Skuad Blues berkunjung ke Liverpool esok dan Terry berkata: “Rodgers adalah pengurus yang hebat bagi saya dan pemain Chelsea yang lain.”