Spurs hidupkan peluang, Liverpool menang besar

LONDON 28 April – Jaringan sendiri Emmerson Boyce pada penghujung perlawanan membolehkan Tottenham Hotspur seri 2-2 dengan pasukan bawahan, Wigan Athletic dalam kempen Liga Perdana Inggeris malam tadi.

Keputusan itu membantu Spurs kekal di tempat kelima liga untuk berpeluang merebut satu daripada baki tiga tempat ke Liga Juara-juara setelah satu tempat menjadi milik Manchester United selaku juara.

Satu lagi tempat kelihatan akan menjadi milik Manchester City yang menewaskan West Ham United 2-1.

Manchester United yang akan melawat Arsenal hari ini mengumpul 84 mata, diikuti oleh City (71 mata), Arsenal (63) dan pasukan di anak tangga keempat, Chelsea yang memiliki satu perlawanan dalam tangan berkongsi 62 mata bersama Spurs.

Sementara itu pasukan di tempat ketujuh, Liverpool merakamkan kemenangan terbesar dalam jadual perlawanan hari ini apabila Daniel Sturridge dan Jordan Henderson masing-masing menjaringkan dua gol ketika mereka membelasah Newcastle United 6-0. – REUTERS

Highlight perlawanan di sini.