Selangor singkir Kubala dan Chrappan

Kuala Lumpur: Selamat tinggal Michal Kubala dan Peter Chrappan! Ia ungkapan tepat buat dua pemain import dari Slovakia itu yang khidmat mereka tampak tidak lagi diperlukan Selangor biarpun baki kontrak enam bulan mereka hanya akan tamat 28 Jun ini.

Menurut jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim, dia hanya akan mempertaruhkan barisan pemain tempatan serta penyerang import tunggal, Francis Forkey Doe jika berjaya mara ke pusingan kedua kalah mati Piala AFC, 15 Mei ini.

Malah jika mara ke suku akhir, 17 dan 24 September ini, Irfan seolah tiada hasrat menyambung khidmat Kubala dan Chrappan, sebaliknya hanya bergantung kepada Forkey Doe dan pertahanan import baru dari Australia, Adam Griffiths yang bakal membuat penampilan sulung Liga Super bertemu Lions XII, Sabtu ini.

Irfan puji komitmen

Kemungkinan besar saya hanya akan guna pemain tempatan serta Forkey Doe dan Adam saja kerana Chrappan dan Kubala kerap cedera. Chrappan tidak beraksi malam ini (kelmarin) manakala Kubala sebelum perlawanan sudah beritahu dia tak boleh beraksi 90 minit.

Tapi saya gembira dengan komitmen dan kesungguhan pemain tempatan lain yang serius mendapatkan gol penyamaan selepas ketinggalan dua gol, kata Irfan pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Selangor bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengutip satu mata berharga mengikat pendahulu Kumpulan H, East Bengal 2-2 hasil jaringan Shukur Jusoh pada minit ke-79 dan Adib Aizzuddin Ab Latif pada masa kecederaan.

Untuk layak ke pusingan kedua, Selangor perlu menewaskan Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Selasa ini sambil berharap East Bengal yang sudah pun layak tidak berpakat seri dengan Sai Gon Xuan Thanh di Kolkata, hari yang sama.