Selangor gagal benam LionsXII

SELANGOR gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan Lions XII pada aksi ke-14 saingan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Gergasi Merah kekal menghuni tangga keempat liga dengan mengutip 24 mata sementara wakil Singapura itu terus mendahului carta Liga Super dengan 28 mata.

Seperti yang diramalkan, Selangor yang turun selaku tuan rumah, mempamerkan persembahan bertenaga sebaik perlawanan bermula namun usaha mereka itu tidak membuahkan hasil.

Juara 32 kali Piala Malaysia itu hampir berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-17 namun percubaan Francis Forkey Doe melepasi palang gol.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu sekali lagi hampir mencemaskan kem Lions XII menerusi rembatan jarak jauh S. Kunanlan namun penjaga gol pasukan pelawat, Mohd. Izwan Mahbud berjaya menepis percubaan merbahaya pemain sayap lincah itu pada minit ke-22.

Tersentak dengan asakan Selangor, Lions XII kembali mengatur serangan dan Hariss Harun hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-32 namun penjaga gol Selangor, Norazlan Razali bijak menyelamatkan keadaan.

Kedua-dua pasukan semakin terdesak untuk memburu jaringan pembukaan dan masing-masing ghairah melancarkan serangan namun tetap menemui kebuntuan.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium TLDM Lumut, Paulo Rangel muncul sebagai wira Perak selepas membantu skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 3-0.

Rangel tampil dengan meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-12, 67 dan 88.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan meraih kemenangan berharga selepas menewaskan T-Team 3-1.

Gol-gol Kelantan dijaringkan menerusi Nwakaeme pada minit ke-32, Nor Farhan Mohammad (59) dan Indera Putera (90).

Gol T-Team pula dijaringkan pemain import Damir Ibric Yuksel pada minit ke-81.

Highlight perlawanan di sini.