‘Saya tidak akan undur diri’ – Divaldo Alves

LUMRAH dalam bola sepak, ketika menang dipuja namun jika tewas, hanya kata-kata nista yang terpaksa diterima.

Skrip yang sama juga dilihat menyelubungi pasukan elit, Negeri Sembilan yang kini terperosok ke tangga tercorot Liga Super apabila sekadar mengutip tujuh mata daripada 14 perlawanan.

Entah di mana silapnya, segala-galanya dilihat serba tidak menjadi buat Sang Rusa musim ini sehingga mengundang kecaman peminat yang lantang mendesak jurulatih, Divaldo Alves supaya segera meletak jawatan.

Selain menduduki tangga tercorot liga, Sang Rusa juga kurang bernasib baik dalam kempen Piala FA kali ini apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Terengganu pada peringkat suku akhir sebelum ini.

Enggan tunduk dengan desakan peminat, Alves percaya anak-anak buahnya masih memiliki rasa tanggungjawab yang cukup besar supaya segera memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super dengan kadar segera.

Tidak mahu mendedahkan punca sebenar kemerosotan Sang Rusa musim ini, Alves mahu situasi itu ditangani dengan bijak oleh kesemua pihak.

“Saya tidak akan meletak jawatan. Ia sesuatu yang normal apabila peminat tidak berpuas hati dengan kedudukan semasa pasukan, saya memang memahami situasi itu.

“Jika ada mana-mana pihak yang tidak mempertikaikan kredibiliti saya selaku jurulatih, mereka boleh datang berjumpa pihak pengurusan.

“Cuma saya tidak akan mengaku kalah sebegitu sahaja. Saya bertekad membantu Negeri Sembilan kembali bangkit selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Minggu lalu, kira-kira 200 penyokong Negeri Sembilan melontarkan kata-kata ‘Berambus Alves’ selepas pasukan kesayangan mereka sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Mereka dilihat kurang sabar terhadap Alves kerana menyifatkan jurulatih dari Portugal itu bertanggungjawab terhadap prestasi semasa pasukan.

Mengulas lanjut, Alves memberitahu, situasi itu sepatutnya tidak ditujukan kepada beliau semata-mata selaku jurulatih.

“Saya sendiri tidak gembira dengan keadaan semasa Negeri Sembilan.

“Justeru, saya harap kesemua pihak, terutamanya pemain akan berusaha bersungguh-sungguh memburu kemenangan demi kemenangan selepas ini.

“Kami harus bekerja keras kerana masa depan pasukan terletak di tangan kami sendiri,” katanya.