Red Giants tersungkur

Shah Alam: Penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Al-Hafiz Hamzah muncul wira apabila menyelamatkan sepakan Mahalli Jasuli dan K Gurusamy untuk kemenangan 4-2 ke atas Selangor pada penentuan sepakan penalti aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kedudukan agregat terikat 3-3 selepas JDT berjaya mencatat kemenangan 2-1 pada aksi 120 minit permainan, malam tadi berikutan keputusan aksi suku akhir pertama di Larkin, 6 April lalu yang menyaksikan Selangor menang 2-1.

Semua empat sepakan penalti JDT berjaya disempurnakan Lionel Nunez, Safee Sali, Andre Francisco Da Silva dan Farid Ramli manakala bagi Selangor, hanya sepakan Asraruddin Putra Omar dan Amri Yahyah menerjah jaring.

JDT bakal bertemu Pahang pada separuh akhir, 25 dan 28 Mei depan.

Tambahan masa

Terdahulu, Selangor di hadapan pada minit ke-29 menerusi rembatan cantik Mahalli yang melakukan larian pantas selepas menerima lorongan cantik Amri untuk menewaskan Al-Hafiz.

Bagi memperkuatkan jentera serangannya, jurulatih JDT, Fandi Ahmad memasukkan Safee sebaik babak kedua bersambung, namun jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula terpaksa mengeluarkan Francis Forkey Doe pada minit ke-47 kerana kecederaan buku lali.

Usaha JDT untuk menyamakan kedudukan berhasil apabila mereka berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-66 menerusi rembatan kencang Nunez, penyerang import baru dari Argentina yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Permainan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan selepas JDT memperoleh gol kedua pada minit ke-86, juga menerusi rembatan cantik Nunez untuk mendahului 2-1, sekali gus mengikat agregat 3-3, tetapi tiada tambahan jaringan pada 30 minit masa tambahan memaksa penentuan sepakan penalti.

Highlight perlawanan di sini.