Real gagal sekat kemaraan Dormund

Borussia Dortmund mara ke perlawanan akhir Liga Juara Juara dengan agregat 4-3 walaupun tewas 2-0 kepada Real Madrid di Santiago Bernabeu.

Karim Benzema memberi harapan kepada Real apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke 83 dan Sergio Ramos menggandakan jaringan lima minit kemudian tetapi anak buah Jose Mourinho gagal mengatasi cabaran.

Perlawanan ini adalah kali ketiga berturut-turut Real Madrid sampai ke peringkat separuh akhir Liga Juara Juara. Bagi pasukan lawan mereka pula, kali terakhir Dortmund mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara Juara adalah pada tahun 1998 apabila mereka tewas 2-0 kepada Real Madrid.

Real Madrid perlu menjaringkan tiga gol untuk mara dan hanya Deportivo pernah membuat yang sama, dengan kemenangan 4-0 atas AC Milan pada 2003.

Di Maria mencipta peluang pertama pada minit ke dua dari sepakan penjuru Ozil tetapi rembatannya melambung tinggi. Tonggak serangan Real Madrid kelihatan lebih bersemangat dari saingan mereka.
Higuain mensia-siakan peluang keemasan pada minit keempat dan rentak perlawanan semakin rancak dengan gerakan serangan balas kedua-dua pasukan.

Sepakan penjuru ketiga Real diambil oleh Modrić pada minit ke sembilan tetapi ia gagal mendatangkan hasil. Rembatan Ronaldo selepas itu melambung tinggi.

Higuaín gagal melepaskan diri pada minit ke 11 dari perangkap ofsaid dan mensia-siakan sepakan percuma Real. Dortmund melancarkan serangan balas tetapi Diego López menyelamatkan percubaan Lewandowski. Beberapa saat kemudian Weidenfeller menyelamatkan sepakan Ronaldo. Hangat.

Grosskreutz kemudian menggantikan Mario Gotze akibat kecederaan. Real mengambil kesempatan melalui Ozil tetapi beliau terlepas peluang keemasan dari hantaran cantik Higuain.

Rentak perlawanan mula merosot selepas minit ke 20 terutamanya apabila percubaan lemah Ronaldo mengecewakan para peminat tuan rumah – kedua-dua pasukan kelihatan teragak-agak.
Ronaldo menggelecek bola di sayap kanan lima minit kemudian dan memberi bola kepada Di Maria tetapi percubaannya dihalang Hummels.

Seminit kemudian Coentrão dilayangkan kad kuning pertama perlawanan akibat mengasari Lewandowski, sebelum Higuaín dan Gündoğan turut dilayangkan kad kuning akibat asakan merbahaya.

Bender kemudian dilayangkan kad kuning dalam babak pertama dan Ronaldo bertindak dari tendangan percuma Real tetapi sepakannya melambung tinggi.

Sepakan penjuru Di Maria dan Ozil pada dua minit pertama babak kedua tetapi ia gagal mendatangkan hasil. Dortmund masih menunggu peluang terbaik untuk melancarkan serangan balas.

Lewandowski mengejutkan semua dengan percubaan yang akhirnya tersasar dan penyerang bintang itu sekali lagi mengancam tetapi percubaannya terkena tiang.

Kaká kemudian menggantikan Fábio Coentrão sementara Benzema menggantikan Higuaín pada minit ke 57. Gündoğan mempunyai peluang yang baik pada minit ke 62 tetapi Lopez menyelamatkan bola dengan baik. Serangan balas Real tidak menjadi

Real membuat pertukaran terakhir apabila Khedira menggantikan Xabi Alonso. Rembatan kaki kanan Ronaldo tersasar seminit kemudian dan harapan Real untuk mara semakin menipis.

Lewandowski mengancam dalam kotak penalti pada minit ke 76 tetapi benteng pertahanan Real berjaya menanganinya. Ramos akhirnya dilayangkan kad kuning pada minit ke 79, corak permainannya yang lasak gagal ditangani pengadil hingga sekarang.

Benzema menjaringkan gol pertama pasukan pada minit ke 83 hasil hantaran tepat Ozil dan jaringannya membangkitkan pasukan tuan rumah. Ramos kemudian menggandakan jaringan gol pada minit ke 88 apabila beliau mengawal hantaran Bezema dengan baik sebelum merembat masuk bola.

Walaubagaimanapun pasukan Jerman itu mampu menangani ancaman pasukan Sepanyol itu dan akan mara ke perlawanan akhir Liga Juara Juara dengan agregat 4-3.

Highlight perlawanan di sini.