Rajagobal sah kebal dari hukuman FAM

KUALA LUMPUR 24 April – Pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal hari ini didapati tidak bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan terlepas daripada sebarang hukuman.

Sementara itu, dua pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Syukor Jusoh masing-masing digantung dua perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mengakui bersalah dalam insiden pergaduhan membabitkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lepas.

Ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak di Wisma FAM, hari ini.

Taufek berkata: “Selain digantung, kita turut mengenakan hukuman denda RM1,000 kepada Afiq dan RM2,000 ke atas Abdul Syukor kerana mengingkari arahan pengadil perlawanan berkenaan.”

Taufek turut menjelaskan bahawa kedua-dua pemain itu tidak boleh mengemukakan rayuan.

“Selepas mengambil kira semua aspek termasuk pengakuan bersalah, jawatankuasa yang bersidang hari ini bersetuju mengenakan hukuman tersebut.

“Dan hukuman itu berkuat kuasa hari, di mana mereka tidak dibenarkan membuat sebarang rayuan terhadap denda yang dikenakan,” kata Taufek kepada pemberita di Wisma FAM.

Dalam insiden itu, Afiq dikatakan melakukan provokasi melampau terhadap pemain ATM di bangku simpanan sehingga menimbulkan kekecohan manakala Abdul Syukor pula mengingkari arahan pengadil perlawanan supaya keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana menggasari pemain lawan.

Perlawanan itu dimenangi Selangor dengan keputusan 3-2 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada penyokong Sarawak selepas menimbulkan kekecohan dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Kelantan 16 April lepas, Taufek berkata, kes tersebut masih belum dibincangkan.

“Buat masa ini saya tidak mahu komen mengenai insiden tersebut dan kami pihak sekretariat juga tidak membincangkan lagi mengenai hukuman yang akan dikenakan kepada mereka,” jelas Taufek.