Raja Lawak kurang sambutan

Bagai ada yang tidak kena pada minggu kedua Gelanggang Raja Lawak musim ketujuh pada Jumaat lalu. Bukan saja ia suram dek kegagalan peserta membuat persembahan yang menambat hati juri, malah kehadiran penonton menyaksikannya di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, juga tidak semeriah dulu.

Sebelum ini, program yang pernah menerima Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada 2010 itu memang menjadi antara rancangan komedi dinanti-nantikan peminat. Tidak kiralah di mana saja ia diadakan, sama ada di studio FINAS atau di lokasi berbeza, ia sentiasa diserbu peminat. Malah ketika itu, ada peminat yang terpaksa pulang hampa kerana gagal masuk ke dewan acara.

Berlainan suasananya pada minggu lalu apabila tiga barisan kerusi penonton kosong, manakala tempat duduk di bahagian kiri dan kanan juga tidak diduduki peminat.

Keadaan itu turut mendapat perhatian Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, yang bimbang situasi terbabit seolah-olah memperlihatkan populariti program yang disiarkan di saluran televisyen berbayar pakej Mustika, Astro Warna (132) itu semakin menurun.

Kami sendiri tidak tahu mana silapnya, namun dari segi kandungan, hampir keseluruhan peserta nampak baik. Begitu juga ia kelihatan cantik apabila dilihat menerusi skrin televisyen.

Cuma, apa yang boleh saya katakan, mungkin berlakunya perpecahan penonton kerana pada masa sama, ada dua lagi program lain sedang diadakan iaitu Karoot Komedia X dan sebuah lagi rancangan daripada stesen televisyen lain, katanya yang ditemui sebaik berakhirnya rancangan berkenaan.

Pada masa yang sama, Nizam mengakui peminat yang hadir kali ini terdiri daripada kelompok penonton berbeza.
Saya dapati penonton yang hadir ialah muka baru dan mereka masih malu-malu untuk bersorak kerana bimbang mengganggu proses rakaman.

Bagaimanapun saya percaya, situasi ini akan berubah selepas beberapa episod rancangan ini disiarkan dan dengan adanya episod penyingkiran, katanya.

Dua peserta solo tersingkir

Episod kedua malam itu menyaksikan dua daripada 14 peserta yang bertanding disingkirkan. Penyingkiran mereka dilakukan berikutan kegagalan masing-masing mendapat markah yang baik hasil daripada undian peminat.

Peserta yang gagal meneruskan langkah dalam usaha mengejar gelaran juara bagi musim ketujuh ini ialah Raja Emy Shahril Raja Ismail atau Emy, 28, dari Pahang dan Muhammad Ali Abdul Manab, 45 (Singapura).

Menurut Emy, keputusan itu bagaikan sudah dapat dijangka memandangkan dirinya gagal membuatkan penonton terhibur dengan bahan lawak dipersembahkan selama dua minggu berturut-turut.

Saya sentiasa bersedia dengan penyingkiran. Keputusan ini juga tidak mengejutkan kerana bahan komedi yang saya tonjolkan pun kurang difahami penonton. Saya tidak kecewa walaupun sempat berdiri di Gelanggang Raja Lawak selama episod saja.

Harapan saya agar rezeki di luar selepas ini masih ada kerana saya memang mencintai bidang seni, katanya.

Kurang keyakinan

Ali turut berasakan dirinya berdepan risiko penyingkiran berikutan tahap keyakinannya untuk berdepan penonton di negara ini masih rendah.

Keyakinan saya pada persembahan hanyalah pada tahap 50 peratus. Lebih-lebih lagi, pada minggu pertama saya mendapat kritikan teruk apabila menghampakan juri.

Saya reda perjuangan saya hanya setakat ini, tetapi saya tidak mahu terus berputus asa. Selepas ini, saya akan terus menumpukan kepada pekerjaan tetap saya sebagai pengacara dan ahli perniagaan.

Insya-Allah, dua tahun lagi saya akan kembali lagi memasuki pertandingan ini dan sudah tentu waktu itu saya akan datang sebagai peserta berkumpulan. Saya akur, bukan senang untuk menjadi peserta solo, katanya