QPR turun pangkat, Cesar naik pangkat

LONDON – Hajat Julio Cesar untuk terus kekal di London mungkin tercapai apabila Arsenal dilaporkan berminat dengan penjaga gol Brazil itu.

Penjaga gol Queens Park Rangers (QPR) itu gembira dengan kehidupannya di London dan mahu terus bermain dalam saingan Liga Perdana England.

Dengan QPR kini bakal tersingkir ke Liga Kejuaraan, Cesar, 33, dijangka bakal meninggalkan kelab tersebut dengan Robert Green mungkin menggantikan tempatnya.

Kelmarin, QPR tewas 0-2 kepada Stoke di tempat sendiri, sekali gus meletakkan skuad bimbingan Harry Redknapp dalam keadaan semakin parah tersingkir daripada Liga Perdana England.

Situasi itu menarik minat pengurus The Gunners, Arsene Wenger yang kini sedang memburu seorang penjaga gol berpengalaman.

Wenger berharap untuk membawa pemain Barcelona, Victor Valdes, namun kelab gergasi Sepanyol itu dikhabarkan enggan melepaskannya.

Cesar kekal menjadi prospek yang berpotensi buat Wenger yang turut berminat ke atas penjaga gol kedua Manchester City, Costel Pantilimon.

Pantilimon, 26, beraksi cemerlang ketika membantu City mara ke final Piala FA dan dia dikatakan mahu bermain dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap.

Penjaga gol Sunderland, Simon Mignolet dan pemain Swansea, Michel Vorm juga dipantau perkembangan mereka oleh The Gunners yang turut berminat terhadap penjaga gawang Liverpool, Pepe Reina. – Agensi