Pertembungan dua import Argentina

Kuala Lumpur: Berpandu kepada prestasi terkini, tumpuan peminat tanah air pasti terarah kepada kelibat dua peledak baru Argentina – Leonel Nunez (Johor Darul Takzim) dan Matias Conti (Pahang) apabila mereka turun membantu dua pasukan berkenaan dalam pertembungan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Nama dua penyerang import ini sudah menjadi bahan bicara selepas masing-masing berjaya merakamkan jaringan dalam penampilan sulung untuk pasukan baru pada aksi suku akhir kedua Piala FA, Selasa lalu.

Nunez, 29, meskipun keadaan fizikalnya dilihat tidak begitu cergas tetap memberi impak besar selepas masuk sebagai pemain gantian dengan ledakan dua gol membantu Johor DT menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.

Conti, 23, turut menyerlah apabila rembatan dan tandukannya membolehkan Pahang menang 2-0 ke atas Sime Darby untuk ke separuh akhir Piala FA, berdepan sekali lagi Johor DT.

Apa pun, 90 minit permainan malam ini bakal menentukan sentuhan Latin siapakah yang lebih menjadi – sama ada Nunez – bekas peledak Argentinos Juniors dan Independiente atau pun Conti, bekas tonggak Tristan Suarez.

Saksikan live stream Liga M di sini