Peluang Safiq buktikan kemampuan

JOHOR BAHRU – Johor Darul Takzim yang kini berada pada prestasi terbaik, mungkin terpaksa turun menentang Perak dalam saingan Liga Super malam ini tanpa kelibat pemain import, Andre Francisco Da Silva.

 
Pemain tengah berusia 27 tahun berasal dari Brazil yang pernah beraksi bersama pasukan Johor dalam saingan Liga Perdana sebelum ini, mengalami kecederaan di paha dan tidak akan berada dalam kesebelasan utama.

Perkembangan terbaharu perancang itu ternyata bukan khabar gembira buat Johor Darul Takzim, namun ketua jurulatih, Fandi Ahmad tetap optimis pasukannya mampu melakar kemenangan di Perak.

“Andre akan menjalani ujian kecergasan, tapi apa yang pasti pada masa ini dia tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama. Saya tidak mahu mengambil risiko, kita akan tengok macam mana nanti.

“Perlawanan di tempat lawan ini amat penting dan kita perlu kekalkan momentum kemenangan, sekali gus mengutip tiga mata penuh supaya terus mempunyai peluang mengatasi pendahulu liga,” katanya ketika dihubungi di sini.

Johor Darul Takzim perlu mengekalkan momentum terbaik selepas berjaya memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super dan Piala FA ketika menentang Terengganu, Selangor dan Pahang.

Dengan ketiadaan Andre, skuad Harimau Selatan itu bakal menurunkan Safiq Rahim yang dikatakan tidak menunjukkan prestasi baik, sekali gus perlawanan menentang Perak memberi peluang kepadanya membuktikan kemampuan sebenar.

Dia diketepikan pada perlawanan menentang Selangor dalam saingan Piala FA di Stadium Shah Alam 16 April lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan menumbangkan The Red Giants untuk mara ke separuh akhir.