Messi jadi penentu Barcelona

MADRID – Barcelona mengakui yang kemampuan mereka memadam defisit empat gol yang dimiliki Bayern Munich menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Liga Juara-Juara di Stadium Nou Camp awal pagi esok bergantung kepada kecergasan Lionel Messi.

Pemain Terbaik Dunia itu tampak keletihan ketika ditewaskan Bayern 0-4 dalam aksi separuh akhir pertama di Allianz Arena minggu lalu.

Namun, Messi dilihat kembali menemui sentuhan sebenar apabila mencetak gol ketika tampil sebagai pemain gantian semasa membantu The Cata- lan mengikat Athletic Bilbao 2-2 dalam aksi liga domestik, Ahad lalu.

Pembantu jurulatih Barcelona, Jordi Roura percaya Messi sudah kembali berada pada tahap terbaik selepas dibelenggu kecederaan bulan lalu.

“Messi pemain terbaik di dunia, sudah tentu kehilangannya dirasai pasukan. Dia mampu memberikan perubahan terhadap corak permainan kami.

“Saya percaya dia sudah mengatasi masalah kecederaan dan benar-benar bersedia berdepan Bayern,” katanya.

Selain masalah kecederaan Messi, The Catalan juga dilihat berdepan masalah kerapuhan benteng pertahanan ketika aksi pertama minggu lalu.

Mereka berdepan masalah lebih besar ekoran penggantungan bek kiri, Jordi Alba awal pagi esok.
Alba mungkin diganti Adriano untuk bergandingan dengan Gerard Pique Eric Abidal atau Alex Song yang mampu beraksi di posisi tersebut.

Saksikan perlawanan ini secara streaming di sini.