Kanak-kanak diberkas menagih dadah

KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang telah menghisap dadah sejak berada di Tahun Lima merupakan antara 22 penagih yang diberkas dalam Ops Tapis selama dua hari bermula Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun tersebut diberkas pada pukul 6 petang bersama 21 penagih lain di sebuah bengkel besi dekat Gudang Rasau di sini.

Katanya, kawasan itu menjadi tempat penagih di sekitarnya melepaskan gian.
“Soal siasat mendapati kanak-kanak tersebut menagih dadah jenis pil kuda dan telah menghisap rokok seawal usia sembilan tahun.

“Dia telah terjebak dengan najis dadah ketika berada di Tahun Lima selepas mendapat bekalan daripada rakan. Dia sering ke bengkel tersebut untuk melepaskan gian bersama penagih-penagih lain,” katanya yang masih menyiasat dari mana suspek mendapatkan wang untuk membeli dadah.
Tambahnya, kanak-kanak tersebut didapati positif pil kuda selepas menjalani ujian air kencing.