Jodoh Rajagobal masih panjang

Kuala Lumpur: Pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal mahu Datuk K Rajagobal memberi perhatian penuh pada misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia selepas pengendali itu bebas daripada hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kedudukan Rajagobal terancam berikutan kenyataan mengkritik dasar FAM sebelum ini namun ‘jodoh’ beliau bersama Harimau Malaya masih panjang apabila Jawatankuasa Tatatertib memutuskan tiada kes untuk mendakwanya, Rabu lalu.

Justeru pengendali itu terus menjadi sandaran FAM untuk memikul misi utama melepasi halangan pusingan kelayakan Piala Asia Kumpulan D yang juga bakal menjadi faktor menentukan sama ada kontrak disambung ataupun sebaliknya.

“Saya harap tiada lagi isu merunsingkan jurulatih (Rajagobal). Saya mahu beliau beri perhatian kepada misi layak ke Piala Asia di Australia,” kata Subahan yang mengaku tidak terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang memihak kepada Rajagobal itu.

“Sejak hari pertama lagi saya sudah maklumkan, beliau tidak bersalah. Orang cakap saya hanya mahu mempertahankannya tapi sekarang terbukti beliau tidak menyalahi Artikel 88,” katanya.

Rajagobal sebelum ini didakwa atas kesalahan mengkritik FAM kerana mempertikai penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia pada sidang media selepas menyaksikan anak buahnya tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 25 Januari lalu.

Bagaimanapun selepas mendengar pembelaan pengendali berusia 56 tahun itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Taufek Abd Razak memutuskan beliau yang masih mempunyai kontrak dengan FAM hingga hujung tahun ini didapati tidak bersalah.

Subahan berkata, Rajagobal perlu mempersiapkan pasukannya menjelang perlawanan ketiga peringkat kumpulan menentang Bahrain di Kuala Lumpur pada 15 Oktober.

“Kita perlu meneruskan misi layak ke Piala Asia, selepas menang dengan Yaman kita akan bertemu Bahrain selepas ini. Saya mahu beliau beri perhatian kepada persiapan skuad negara dengan beberapa perlawanan persahabatan menentang Chelsea, Barcelona, India dan Uzbekistan sebelum berdepan Bahrain.” Skuad kebangsaan kini menduduki tangga ketiga daripada empat pasukan dalam Kumpulan D selepas tumpas 0-2 di tangan Qatar pada aksi pembukaan sebelum menang 2-1 ke atas Yaman.