Haris, Khairul jadi taruhan Red Warriors benam Maziya

Kuala Lumpur: Gandingan dua pemain tempatan – Haris Safwan Mohd Kamal dan Khairul Izuan Rosli – menjadi taruhan Bojan Hodak untuk digandingkan bersama bintang muda Australia, Dimitri Petratos pada perlawanan kelima peringkat Kumpulan G, Piala AFC bertemu kelab Maldives, Maziya S&RC di tempat lawan petang ini.

Ini kerana seorang lagi penyerang import, Dickson Nwakaeme belum pulih daripada kecederaan dan tidak akan menyertai pasukan manakala bekas pemain kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC, Ahmad Fakri Saarani belum sempat didaftarkan bermain dalam kejohanan Piala AFC.

Dengan rekod perlawanan pertama ketika seri 1-1 di Kota Bharu sebelum ini, The Red Warriors dijangka tidak menghadapi masalah sekurang-kurangnya mengutip satu mata di tempat lawan sekali gus mencerahkan peluang muncul juara kumpulan untuk memastikan dapat bermain di tempat sendiri pada pusingan kedua.

Bagi Hodak, dengan jadual perlawanan yang terpaksa dihadapi terlalu padat, dia terpaksa akur dengan kehilangan beberapa tonggak tetapi bernasib baik apabila tonggak tengah, Shakir Saari kembali ke dalam pasukan.

Mahu juarai kumpulan

Saya lega Shakir kembali beraksi dengan kita. Dickson Ahmad Fakri tidak bersama pasukan dan mungkin saya akan gandingkan Khairul Izuan, Haris Safwan dengan Petratos di barisan depan.

Sasaran saya sudah pasti mahu menang pada perlawanan ini. Kita akan cuba tamatkan kempen peringkat kumpulan sebagai juara dan ini amat penting untuk mengelak beraksi di tempat lawan pada perlawanan kedua, katanya.

Saksikan perlawanan AFC Cup antara Maziya v Kelantan di sini dan Selangor v Bengal secara streaming di sini.