Hantar kad jemputan sebelum samun

Kuala Lumpur: Dua wanita dibantu seorang lelaki dikesan melakukan jenayah licik apabila berpura-pura menghantar kad jemputan majlis perkahwinan sebelum memukul, mengikat dan menyamun mangsa yang kebanyakannya suri rumah serta warga emas.

Trio itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes jenayah dengan menggunakan taktik itu di sekitar Lembah Klang dalam tempoh enam bulan lalu dengan jumlah kerugian semua mangsa menjangkau ratusan ribu ringgit.

Dalam kejadian terbaru jam 9.30 pagi kelmarin, seorang suri rumah berusia 27 tahun bersama bayi lelakinya berusia tiga bulan dan ibu mentua berusia 60-an menjadi mangsa membabitkan kerugian RM5,000.

Sumber polis berkata, mangsa tinggal di penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Istana, di sini dan seorang daripada mereka turut cedera akibat dipukul kumpulan penjenayah terbabit.

Menurutnya, ketika tiga beranak itu menikmati sarapan, pintu rumah mereka diketuk dan sebaik pintu dibuka, ada dua wanita memberitahu mahu menyerahkan kad jemputan ke majlis perkahwinan seorang daripada mereka.