Giliran Real Madrid dibelasah kelab Jerman

Robert Lewandowski menjaringkan empat gol dalam kemenangan 4-1 Borussia Dortmund atas Real Madrid di perlawanan peringkat separuh akhir Liga Juara Juara.

Penyerang Jerman yang berusia 24 tahun itu membuka tirai seawal minit ke lapan dalam babak pertama sebelum Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat dua minit sebelum masa rehat.

Dortmund meningkatkan permainan dalam babak kedua dan Lewandowski menjaringkan tiga gol lagi dalam 16 minit untuk melengkapkan hatrik pertama atas Real Madrid dalam sejarah Liga Juara Juara.

Borussia Dortmund meneruskan prestasi baik oleh pasukan Jerman dalam Liga Juara Juara lebih kurang 24 jam selepas Bayern Munich belasah Barcelona.

Marco Reus mencipta peluang pertama apabila menggelecek masuk ke dalam kotak pasukan pelawat dari tengah padang sebelum melepaskan rembatan yang ditepis keluar oleh penjaga gol Diego Lopez.

Mario Gotze kemudian mencipta peluang pertama dengan hanaran tepat kepada Lewandowski dan penyerang Jerman itu menyepak masuk gol pembukaan selepas hanya lapan minit.

Tonggak serangan Real Madrid kelihatan agak tumpul dan bahagian midfield mereka gagal menangani gerakan serangan saingan mereka.

Dortmund kelihatan berpuas hati dengan penguasaan perlawanan dan hilang tumpuan seketika apabila Reus dikasari Rafael Varane dalam kotak penalti. Rakan sepasukan Reus terus merayu untuk tendangan penalti tetapi pengadil meneruskan perlawanan.

Gonzalo Higuain terus mengambil kesempatan dari kesilapan Mats Hummels dan penyerang Argentina itu menghantar bola kepada Cristiano Ronaldo untuk menyamakan kedudukan pada minit ke 43.

Dortmund mulakan babak kedua dengan penuh keyakinan dan mendapat gol kedua mereka selepas empat minit. Reus mengawal bola dengan baik di luar kotak penalti sebelum memberi hantaran tepat kepada Lewandowski.

Benteng pertahanan Madrid merayu untuk ofsaid dari pengadil tetapi sekali lagi beliau meneruskan permainan dan Lewandowski terus menyepak bola masuk.

Penjaring gol terbanyak Bundesliga itu meneruskan rentak baik dan melengkapkan hatrik pada minit ke 55 dengan pusingan yang baik sebelum menyepak masuk gol ketiganya.

Madrid kelihatan terkejut dengan corak permainan saingan mereka dan gagal mencipta gerakan serangan yang baik. Pasukan Sepanyol itu hanya mampu memberi tumpuan kepada benteng pertahanan dan akhirnya dibolos juga pada minit ke 66.

Xabi Alonso mengasari Marco Reus dan Lewandowski menyempurnakan penalti untuk mengakhiri pesta gol di padang sendiri.

Penyerang Jerman itu kini di tempat kedua senarai penjaring gol terbanyak dalam Liga Juara Juara dengan 10 gol sementara Ronaldo di tempat teratas dengan 12 gol.

Perlawanan kedua peringkat separuh akhir Liga Juara Juara akan diadakan di Santiago Bernabeu pada 30 April nanti.

Highlight perlawanan di sini.