FAM tentukan nasib Rajagobal esok

Kuala Lumpur: Sama ada Datuk K Rajagobal bersalah ataupun tidak, semuanya bakal terjawab apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membicarakan kes ketua jurulatih kebangsaan itu esok.

Perbicaraan kes itu menyusul selepas hampir dua minggu Rajagobal menjawab surat pertuduhan kerana didakwa melanggar Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM selepas mengkritik dasar diputuskan badan induk bolasepak tanah air itu mengenai penggunaan pemain import.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM (JKPT) Datuk Taufek Abd Razak, menerusi surat jawapan diterima, Rajagobal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan akan membela diri pada hari perbicaraan.

“Datuk Rajagobal mengaku tidak bersalah dan kami akan mengadakan perbicaraan Rabu ini (esok). Apa saja keputusan bergantung kepada pembelaannya pada hari perbicaraan itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kerana kes itu kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya kini terancam kerana jika bersalah, beliau boleh digantung enam bulan dan denda RM8,000 mengikut Kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.

Semuanya berpunca daripada kenyataannya mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan negara ketandusan penyerang semula jadi.

Kenyataan pengendali berusia 56 tahun itu dibuat pada sidang media selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.

Taufek berkata, selain kes Rajagobal, pihaknya juga akan membicarakan pendakwaan terhadap dua pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh yang terbabit dengan insiden pergaduhan dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 25 Januari lalu.

“Keputusan mengenai dua pemain Selangor ini juga dibuat pada Rabu ini, pendakwaan ke atas Afiq dan Shukor adalah berdasarkan insiden dalam perlawanan dan bukannya selepas tamat perlawanan itu,” katanya.

Sebelum ini JKPT sudah mengenakan hukuman penggantungan dua hingga empat perlawanan kepada pemain ATM iaitu Mohd Fitri Omar, G Jeevanthan, R Surendran dan Mohd Shukor Adan kerana terbabit dengan pergaduhan itu.