Empat pemain United tersenarai dalam Pasukan Terbaik BPL

London: Penjaring terbanyak Liga Perdana, Robin van Persie adalah salah seorang daripada empat pemain Manchester United yang disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA.

Van Persie, yang berhijrah ke Old Trafford dari Arsenal musim panas lalu, menjaringkan 25 gol setakat ini untuk membantu United mengesahkan kejuaraan Liga Perdana ke-20.

Dia disertai dalam Pasukan Terbaik Tahunan oleh rakan sepasukan David De Gea, Rio Ferdinand dan Michael Carrick.

Juara musim lalu Manchester City hanya mempunyai seorang wakil dalam pasukan itu, pertahanan kanan Argentina Pablo Zabaleta.

Penyerang kontroversi Liverpool, Luis Suarez (gambar), yang dikenakan penggantungan 10 perlawanan minggu lalu kerana menggigit Branislav Ivanovic, menyertai Van Persie di bahagian serangan dalam kesebelasan utama, yang diumumkan dalam satu majlis gilang-gemilang semalam.

Gareth Bale yang menyumbat 19 gol turut disenarai dalam pasukan itu, manakala rakan sepasukan Tottenham Jan Vertonghen dinamakan di pertahanan tengah.