Chong Wei dan Misbun Ramdan cemerlang

Kuala Lumpur: Dua pemain harapan negara dalam era berbeza, Datuk Lee Chong Wei dan Misbun Ramdan Misbun meraih kejuaraan semalam, kebetulan kedua-duanya bekas dan juara terbaru GP Kebangsaan.

Di New Delhi, Chong Wei meraih gelaran kedua pada Siri Super Terbuka India selepas menewaskan pemain utama Jepun Kenichi Tago.

Begitupun Chong Wei tidak mendapat laluan mudah meskipun menang set pertama 21-15, apabila tunduk 18-21 pada set kedua, sebelum bangkit memenangi perlawanan 21-17 pada set penentuan.

Sementara itu, Ramdan merangkul kejuaraan pertama kejohanan senior antarabangsa apabila menewaskan pilihan utama Pablo Abian dari Sepanyol di final Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal.

Ramdan, pilihan kedua kejohanan langsung tidak dijangka akan menang mudah 21-8, 21-9.

“Kami di Nusa Mahsuri tidak menjangka Ramdan akan meraih kejuaraan seawal ini, namun ini adalah satu perkembangan positif,” kata jurulatih Nusa Mahsuri Rahman Sidek.

Rahman berkata, meskipun Ramdan mula menunjukkan tanda-tanda akan menjuarai lebih banyak kejuaraan, pemain berusia 22 tahun itu akan terus menyertai kejohanan berstatus Cabaran Antarabangsa terlebih dulu, bagi membiasakan diri dengan kejuaraan di peringkat rendah selain meningkatkan lagi keazaman seseorang pemain untuk memburu kejuaraan lebih tinggi.

“Saya sering berpesan kepada Ramdan, untuk menjadi seorang juara, dia perlu menjadi pemain yang berbeza berbanding pemain lain,” katanya.

Terbuka Portugal adalah siri jelajah Eropah kedua Ramdan selepas mara ke separuh akhir Terbuka Belanda, minggu lalu dan selepas ini dia akan terus berada di Eropah untuk menyertai tiga lagi kejohanan.