Bayern sudah sedia bertemu Barcelona

BERLIN – Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer menjelaskan, kejayaan Bayern Munich membelasah Hanover 6-1 dalam saingan Liga Jerman awal pagi semalam, merupakan bukti mereka sudah bersedia bertemu Barcelona dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

“Kami mahu bersedia lebih awal sebelum pertemuan dengan Barca dan terbukti kami berjaya melakukannya.

“Kami telah bermain dengan baik, terutamanya pada babak pertama. Ia satu persembahan yang meyakinkan,” kata Neuer selepas rekod tanpa bolosnya dalam 20 perlawanan berakhir dengan jaringan Andre Hoffmann semalam.

Bayern kini dalam misi layak ke final Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam masa empat tahun dan semalam merupakan perlawanan kedua berturut-turut mereka membelasah lawan dengan enam jaringan.

Kejayaan besar ke atas Hanover ini dicatat setelah menang 6-1 ke atas Wolfsburg di separuh akhir Piala Jerman.

Dengan penyerang utama, Mario Mandzukic digantung perlawanan pada aksi pertama di Stadium Allianz Arena awal pagi Rabu ini, dua penyerang simpanan, Mario Gomez dan Claudio Pizarro berjaya meledakkan dua gol.

Kemenangan itu juga menyaksikan mereka mencatat rekod 26 kemenangan dalam Liga Jerman musim ini di samping rekod sembilan kemenangan berturut-turut. – AFP