Bayern sedia musnahkan impian Barcelona

BERLIN – Pemain pertahanan Bayern Munich, Daniel van Buyten menegaskan, pasukannya telah bersedia untuk melengkapkan tugas menjelang kunjungan ke Stadium Nou Camp menentang Barcelona untuk aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara.

Keyakinan van Buyten itu hadir selepas membantu pasukannya menewaskan Freiburg 1-0, tiga hari selepas menewaskan Barcelona 4-0 di Stadium Allianz Arena pada aksi pertama separuh akhir, Rabu lalu.

Bayern kini menyasarkan untuk menjejak pentas final buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun berturut- turut di Stadium Wembley pada 25 Mei ini.

“Kami kini telah memena- ngi Liga Jerman buat kali ke-14 dan kami masih berhasrat untuk menambah trofi (Liga Juara-Juara).

“Kami kini bersatu dan mempamerkan peningkatan yang positif. Bayern memiliki pemain yang kuat sama ada dalam skuad utama mahupun simpanan.

“Tiada sebarang perbandingan buat kami memandangkan Bayern hanya memberikan fokus untuk memburu kejuaraan,” ujar pemain 35 tahun itu yang bakal bersaing tempat dengan Jerome Boateng untuk aksi menentang Barcelona kelak.

Dalam perkembangan sama, jurulatih Bayern, Jupp Heynckes berazam melakarkan satu sejarah baharu untuk muncul sebagai pasu- kan Jerman pertama menjuarai Liga Jerman, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara.

“Saya telah mendedahkan perkara ini kepada pasukan saya sebelum aksi menentang Freiburg. Apa yang pasti, saya tidak mahu barisan pemain saya mendabik dada dengan kejayaan positif ini.

“Sebaliknya, kami harus mempertingkatkan usaha kami sebagaimana Bayern masih memiliki 90 minit untuk memastikan hasrat ke pentas final Liga Juara-Juara akan tercapai.

“Begitupun, saya harus memberikan pujian kepada anak-anak buah saya selepas mereka mempamerkan kesungguhan dan kegigihan yang begitu profesional,” ujarnya. – AFP