Barcelona bawa bintang utama bertemu Harimau Malaya

KETUA Pegawai Eksekutif Barcelona, Antoni Rossich mendedahkan bahawa pihaknya tidak dapat mengelak untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Menurut Rossich, ia merupakan tarikh terbaik buat barisan pemain The Catalan untuk beraksi sempena Jelajah Asia Barcelona 2013 sebelum para pemainnya sibuk dengan tugasan bersama pasukan kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Begitupun, beliau tetap yakin bahawa penyokong-penyokong fanatik Barcelona bakal memenuhi stadium kelak meskipun menyedari perlawanan tersebut jatuh pada Hari Raya Aidilfitri ketiga.
Ini merupakan kunjungan pertama kelab gergasi Sepanyol itu ke Malaysia.

“Mengenai tarikh tersebut, pihak kami tidak dapat mengelak memandangkan ia merupakan tarikh sesuai buat pemain-pemain utama Barcelona untuk beraksi dalam Jelajah Asia 2013 ini.

“Ini kerana mereka sibuk bersama skuad kebangsaan mereka untuk perlawanan antarabangsa kelak.

“Justeru, kami mengambil tarikh ini selepas pemain-pemain utama kami boleh beraksi menentang Malaysia, tetapi saya percaya ia tidak akan menjadi satu masalah buat penyokong-penyokong Barcelona di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar Jelajah Asia Barcelona 2013 di One World Hotel Petaling Jaya semalam yang turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sebelum ini melaporkan, FAM berhasrat untuk mengubah tarikh tersebut memandangkan kebanyakan pemain-pemain Harimau Malaya yang beragama Islam sibuk meraikan perayaan Aidilfitri ketika itu.

Bagaimanapun, FAM dan Barcelona mencapai persetujuan untuk tidak meminda tarikh perlawanan persahabatan itu selepas kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat untuk mengekalkan tarikh yang telah ditetapkan itu pada satu mesyuarat 4 April lalu.

FAM anggap sejarah

Pastinya ia memberi peluang buat peminat bola sepak tempatan menyaksikan kelibat Lionel Messi, Cesc Fabregas, Dani Alves, Gerard Pique, Pedro, Xavi, Andres Iniesta, Carles Puyol, David Villa dan penjaga gol, Victor Valdes di depan mata meskipun perlawanan itu jatuh pada hari ketiga umat Islam menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, peluang berdepan barisan bintang Barcelona itu perlu dimanfaat sepenuhnya barisan pemain Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal.

“Saya rasa ini kunjungan yang bagus, kali pertama Barcelona datang ke Malaysia, satu sejarah bagi kita dan mereka. Ini satu penghormatan bagi Malaysia sebenarnya dan harap kita boleh buat satu perancangan masa panjang dengan mereka,” katanya.

Berikut senarai harga tiket