BAM senaraikan pasukan terkuat ke Piala Sudirman

KUALA LUMPUR 28 April – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menamakan 20 pemain yang akan membawa cabaran negara pada Kejohanan Badminton Piala Sudirman, yang mana Malaysia menjadi tuan rumah pada 19-26 Mei ini.

Jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran perseorangan bersama Liew Daren dan Chong Wei Feng manakala perseorangan wanita pula Tee Jing Yi bersama Lydia Cheah dan Soni Cheah.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mengetuai senarai beregu lelaki bersama-sama pasangan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong serta Lim Khim Wah-Goh V Shem.

Dalam pada itu, Woon Khe Wei-Vivian Hoo dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan bertanding dalam beregu wanita manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Ong Jian Guo-Lim Yin Loo untuk beregu campuran.