Balotelli antara individu berpengaruh di dunia

Milan: Mario Balotelli disenarai majalah TIME sebagai antara individu berpengaruh di dunia, biarpun penyerang AC MIlan itu digantung tiga perlawanan.

Balotelli kembali ke pangkuan Serie A dari Manchester City, Januari lalu ketika bergelut mencapai prestasi selepas berjaya meraih kejayaan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Sejak itu, pemain berusia 22 tahun itu kembali mendapat sentuhan berbisa tetapi penyenaraiannya dalam majalah berpengaruh itu bersama Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama, Pope Francis dan artis Beyonce mencetuskan kekecohan di media Itali.

Balotelli adalah satu-satunya pemain bolasepak dalam senarai itu dengan bintang NBA, LeBron James, pemain tenis Li Na dan atlet ski Lindsey Vonn adalah antara atlet yang turut tersenarai.

Ejen Balotelli, Mino Raiola, menegaskan pemilihan pemain bolasepak kontroversi itu adalah pilihan bijak dan bakal memberi inspirasi kepada sesiapa saja di seluruh dunia pada 2013 dan seterusnya.

“Saya tidak terkejut,” kata Raiola. “TIME melihat sesuatu dalam dirinya yang tidak dapat dilihat orang lain.

“Dia boleh memberi pengaruh kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak. Mario juga boleh memberi kesan di Itali dengan pelbagai cara, bermula dengan bagaimana isu perkauman boleh ditangani.

“Dia adalah seorang lelaki muda yang normal tetapi jelas sekali banyak tanggungjawab penting digalasnya sejak berusia 16 tahun.” Selepas dijual pada harga 20 juta euro (RM79.2 juta), Balotelli membalas kepercayaan Milan dan Raiola yakin sahamnya akan terus naik.

“Ia satu pembelian yang berbaloi memandangkan Mario membalas pelaburan terhadapnya dengan persembahan hebat dan sikapnya juga semakin baik,” kata Raiola.

“Tidak lama lagi dia akan menjadi tidak ternilai, bagaikan hasil seni yang indah.” Begitupun Balotelli terus digantung untuk perlawanan penting menentang Juventus tetapi ahli lembaga Bianconeri, Pavel Nedved berharap penggantungan itu dibatalkan bagi memastikan kedua-dua pasukan membariskan pemain terbaik.

“Lebih baik jika kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang lengkap, bukan saja untuk Milan tapi untuk semua,” katanya.

“Jika penggantungan terhadap Balotelli dibatalkan, kita boleh menjangkakan perlawanan hebat antara kedua-dua pasukan tetapi jika dia tidak bermain sekalipun perlawanan tetap menarik.”