ATM dilarang berlatih padang tiruan

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima tekanan psikologi awal menjelang pertemuannya dengan Lions XII dalam Liga Super 2013 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini apabila tidak dibenarkan menjalani latihan persediaan di situ.

Memandangkan padang stadium itu turut digunakan bagi Liga Singapura, Gladiators hanya dijanjikan padang gantian tetapi jurulatih ATM, B. Sathianathan terpaksa menolaknya kerana mendakwa keadaan setiap padang tiruan pasti berbeza.

“Walaupun kami turut berlatih di padang tiruan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia, Kelana Jaya) atau MSN (Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil), keadaannya tidak sama dengan yang di Jalan Besar atau mana-mana padang tiruan di Singapura.

“Jadi kami akan tidak berlatih di padang tiruan selain Stadium Jalan Besar dan terpaksa akur dengan ketiadaan latihan sebelum perlawanan,” katanya sebelum berlepas bersama pasukan untuk menaiki penerbangan ke republik itu, semalam.

Pergerakan bola yang terlalu laju dan kadangkala sukar dibaca di padang tiruan stadium itu, mampu memerangkap ATM seperti mana mereka diikat tuan rumah 1-1 dengan jaringan lewat dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia, 5 Oktober tahun lalu.

Namun, Sathianathan enggan menjadikannya alasan untuk anak buahnya gagal dalam misi memburu sekurang-kurangnya satu mata daripada tangan skuad bimbingan V. Sundramoorthy yang mengecewakan mereka 1-0 di Seremban dalam pusingan pertama liga lalu.

Saksikan live stream perlawanan ini di sini.