Arsenal kembali ke tempat ketiga liga

Arsenal kembali ke tempat ketiga liga selepas menewaskan Fulham di Craven Cottage walaupun mempamerkan aksi yang hambar.

Fulham boleh menganggap mereka kurang bernasib baik untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata selepas mereka berjuang habis-habisan dengan 10 pemain selepas Steve Sidwell dibuang padang.

Arsenal tidak berjaya mengambil kesempatan sepenuhnya ke atas 10 pemain Fulham selepas mendahului perlawanan sebelum waktu rehat hasil jaringan Per Mertesacker.

Pengadil kemudian sekali lagi melayangkan kad merah pada minit ke-90 kali ini kepada Olivier Giroud kerana mengasari Stanislav Manolev walaupun rakaman menunjukkan dia menepis bola terdahulu.

Arsene Wenger membuat keputusan untuk merehatkan Jack Wilshere bagi perlawanan ini sementara Tomas Rosicky kembali dalam barisan utama bergitu juga Nacho Monreal.

Di gawang gol pula Wojciech Szczesny diturunkan kerana Lukasz Fabianski masih mengalami kecederaan.

Fulham sebelum ini tewas 3-0 kepada Chelsea tetapi telah memulakan perlawanan dengan baik.
Malang menimpa pasukan tuan rumah pada minit ke-13 apabila Sidwell megasari Arteta dan pengadil tidak mempunyai pilihan selain melayangkan kad merah.

Sidwell baru sahaja kembali ke pasukan selepas penggantungan tiga perlawanan kerana mengasari pemain QPR Armand Traore dan kini sekali lagi dia digantung.

Tiga minit sebelum waktu rehat, Arsenal mendahului perlawanan apabila Laurent Koscielny menanduk bola ke arah gawang gol dan Mertesacker yang tidak dikawal terus menanduk masuk gol tunggal perlawanan itu.

Fulham walaubgaimanapun terus mengasak sepanjang perlawanan dengan hanya 10 pemain namun tidak berjaya membolosi gawang Arsenal.

[Foxsports]