AFC Cup : Kelantan kena belasah, Selangor masih bernyawa

SELANGOR menempah laluan sukar untuk memburu slot ke pusingan kedua Piala AFC 2013 selepas seri 2-2 dengan pendahulu Kumpulan H, East Bengal 2-2 pada aksi kelima di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pada pertemuan tersebut, skuad Gergasi Merah bernasib baik apabila pemain pertahanan, Adib Aizuddin Ab Latif meledak gol penyamaan pada masa kecederaan, sekali gus menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, peluang anak- anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk mara ke pusingan kalah mati semakin sukar.

Selangor wajib membelasah Tampines Rovers selain mengharapkan ‘ihsan’ East Bengal untuk menewaskan Saigon Xuan Thanh pada perlawanan terakhir sekiranya berhasrat untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Pada perlawanan malam tadi, perancang import, Michal Kubala hampir membuka jaringan buat Selangor, namun percubaan tepat itu berjaya ditepis keluar penjaga gol East Bengal, Gurpreet Singh Sandhu pada minit ke-19.

Begitupun, berselang empat minit kemudian, benteng pertahanan skuad Gergasi Merah dikejutkan dengan gol pertama kelab dari India itu hasil rembatan Penn Ikechukwu Orji ekoran situasi kelam- kabut dalam kawasan kotak penalti, sekali gus menewaskan penjaga gawang Selangor, Mohd. Shar- binee Allawee Ramli.

Pada separuh masa kedua, East Bengal terus mempamerkan persembahan bertenaga dan hasilnya mereka berjaya membolosi gawang Selangor buat kali kedua menerusi jaringan Lalrindika Ralte minit ke- 54.

Pemain gantian East Bengal, Manandeep Singh yang beraksi selama empat minit dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain sayap Selangor, S. Kunanlan pada minit ke-77.

Seminit kemudian, Abdul Shukur Jusoh berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti sebelum Adib yang bijak memanfaatkan hantaran hasil sepakan percuma Amri Yahyah untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Selangor bakal bertandang ke Stadium Jalan Besar, Singapura bagi pertemuan terakhir Kumpulan H menentang Tampines Rovers manakala East Bengal dijadualkan menentang Saigon Xuan Thanh 30 April ini.

Sementara itu, Kelantan tewas 1-6 kepada Maziya Sport And Recreation Club (Maziya SRC) pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC 2013 di Stadium National Male.

Begitupun, kekalahan juara bertahan Liga Super itu tidak menjejaskan kedudukan skuad The Red Warriors apabila masih kekal sebagai pendahulu kumpulan.

Pada aksi itu, Mohd. Haris Saf- wan Mohd. Kamal membuka jari- ngan buat skuad kendalian Bojan Hodak seawal minit ketujuh.

Begitupun, rentak cemerlang skuad The Red Warriors dilihat terjejas selepas menyaksikan Mohamad Zamri Ramli dibuang padang pada minit ke-28.

Maziya SRC ternyata mengambil kesempatan atas kelemahan pasukan Kelantan yang beraksi dengan 10 pemain akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Rasheed Ahmed pada minit ke-40.

Kelab Maldives itu terus meluaskan penguasaan di atas padang apabila menggandakan kedudukan menerusi jaringan Abdulla Asadulla pada minit ke-56.
 
Maziya SRC terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan Kelantan apabila meledak tiga gol pada 15 minit terakhir menerusi perancang, Easa Ismail pada minit ke-76 dan dua jaringan dari Aduham Hassan (ke-82 dan ke-84).

Tonggak pertahanan Maziya, Imran Ali melengkapkan pesta gol dengan meledak gol keenam buat pasukan tuan rumah pada minit ke-86.

Kelantan bakal menentang Ayeyawady United di Stadium Sultan Muhammad IV untuk aksi terakhir Kumpulan G pada 30 April ini.

Highlight perlawanan di sini.