Aeril tidak berubah walaupun berlakon filem Hollywood

PASTI ramai selebriti tempatan, tidak kira pelakon atau penyanyi ingin mengembangkan karier mereka ke persada antarabangsa. Namun semua itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Jika sebelum ini Yuna dan Shila Amzah telah mencipta nama tersendiri di pentas seni luar negara, kini giliran pelakon muda yang berbakat, Aeril Zafrel pula akan mencipta nama di pentas perfileman Hollywood.

Paling mengujakan, Aeril yang namanya kini sedang meningkat naik, telah terpilih sebagai pelakon utama dalam sebuah filem Hollywood di samping aktres handalan, Christina Ricci dan Sharon Stone.
Semua itu memang tidak diduga oleh pelakon kacak berusia 25 tahun ini.

“Pada tahun lalu, seorang kenalan saya di London meminta saya menghantar profil kerjaya dan tidak lama kemudian pihak produser menghubungi saya kerana mendapati saya menepati kriteria lelaki Asia yang mereka cari untuk watak itu.

“Dan memang saya tidak sangka dengan peluang itu. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan nama besar seperti Christina dan Sharon. Banyak input yang saya dapat sepanjang bekerja dengan mereka.

“Inilah peluang dan platform untuk saya membuktikan bakat lakonan saya,” katanya yang juga sudah melakukan penggambaran blok pertama filem tersebut Januari lalu.

Menurut Aeril, dia masih tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai filem itu kerana terikat dan sudah termaktub dalam perjanjian.

“Pada penghujung Mei ini, saya akan kembali ke London untuk meneruskan blok kedua penggambaran filem itu,“ katanya.

Ketika ditanya mengenai soal bayaran daripada produksi tempatan selepas ini ekoran profil antarabangsanya itu, Aeril berkata, dia akan meletakkan harga yang setimpal.

 

MERINDUI arwah kedua-dua ibu bapanya yang banyak membantu dalam bidang seni.

“Sekarang saya mempunyai penasihat, iaitu kawan saya yang membawa saya ke Hollywood. Jadi selepas ini, jika ada tawaran, dia akan mewakili saya dan perbincangan akan dijalankan bersama dia.
“Tapi tidaklah kerana sebuah filem di Hollywood, saya sudah mula bangga diri dan mula meletakkan harga tidak munasabah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aeril berkata, dia tidak akan memusuhi sesiapa setelah bergerak sendiri kerana itulah hasratnya yang ingin mencabar kemampuan diri dengan mengembangkan kerjaya lakonan secara berdikari.

Malah, Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari meluahkan ucapan terima kasih terutama kepada bekas pihak syarikat pengurusan pihak MIG kerana menjaga dan memberi tunjuk ajar kepadanya dalam dunia seni tanah air.

“Saya tidak pernah melupakan jasa MIG terutamanya David Teoh kerana mereka banyak menolong menaikkan nama saya.

“Walaupun saya sudah bergerak sendiri, saya masih ingat jasa mereka terhadap saya,” tegasnya.
Ilmu agama

Walaupun ghairah mengukir nama dalam dunia seni, soal agama tetap tidak dilupakan oleh Aeril.
Aeril berkata, kesibukan berlakon tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melupakan ilmu agama.

Baginya, mempelajari ilmu agama adalah satu kemestian sesiapa sahaja tidak kira beragama Islam ataupun sebaliknya. Tetapi semua itu bukanlah trend kerana kita perlu ikhlas jika ingin mendapat satu kehidupan baru yang sempurna.

“Mungkin dulu saya selalu mengabaikan ilmu agama. Saya terasa berada dalam sisi kegelapan dan juga pernah meninggalkan solat. Kini saya sendiri pula perlu membahagikan masa antara lakonan dan belajar ilmu agama.

“Pengalaman lepas saya jadikan pengajaran buat saya untuk meneruskan kehidupan menjadi orang yang lebih baik. Secara peribadi saya kini sedang mendalami ilmu agama bersama seorang guru agama yang boleh saya percayai,” katanya.

Hero filem Budak Pailang itu berkata, keinginan tersebut bagaimanapun bukan disebabkan dia ingin menutup segalanya tetapi hadir dari hati yang ikhlas dan memang niatnya ingin menjadi lebih Islamik.

Sudah berubah ke arah Islam tidak bermakna Aeril terlepas daripada gosip liar sehingga dapat menjatuhkan maruahnya. Baru-baru ini, gambarnya tidak berbaju dan hanya bertuala berwarna putih telah dimuat naik dalam sebuah laman web gay.

Menjelaskan perkara sebenar, Aeril berkata, orang ramai terutama peminatnya tidak perlu kecoh kerana dia bukanlah pengamal hubungan songsang seperti yang dilabelkan banyak pihak sebelum ini.

“Saya memang agak terkejut dengan penyebaran itu dan ini bukan pertama kali saya dikaitkan dengan penyebaran gambar tidak berbaju. Apa yang membuatkan saya tertanya-tanya gambar saya tersebar dalam laman web gay. Kenapa perlu dimuat naik dalam laman web gay?

“Tetapi apabila melihat sendiri, saya hanya boleh ketawa kerana gambar itu merupakan gambar yang diambil daripada salah satu adegan dalam filem lakonan saya Hanya Aku Cinta Kau Seorang (Hacks) pada tahun lalu.

“Saya berjanji itulah filem pertama dan terakhir untuk saya membuka baju,” jelasnya.

Semua itu tidak dijadikan pematah semangat buatnya kerana penghijrahannya ke arah yang baik telah membantunya mendapatkan apa yang diingini.

Aeril juga mengakui sedia memaafkan orang yang menyebarkan gambar-gambar tersebut dan tidak perlu kecewa dengan semua itu kerana tidak akan menjejaskan imej serta maruah dirinya.

Malah, jejaka ini turut menganggap itu adalah kerja pihak yang cuba menjatuhkan kerjayanya selama ini.

“Saya tidak perlu merasa bimbang mengenai penyebaran itu. Lagipun saya sudah banyak berhijrah ke arah yang lebih baik, selain kesal dengan dosa-dosa yang dilakukan ketika berada dalam zaman kejahilan dulu.

“Memang dulu banyak gambar saya tidak berbaju tetapi kini saya sudah buang dari laman peribadi saya dan gambar yang disebar itu bukan dari koleksi peribadi saya.

“Yang penting, selagi saya bersama Allah, Dia akan melindungi saya walau apa sekalipun orang ingin memburukkan saya,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran telefilem Mungkin Itu Kasihmu yang bakal disiarkan di RTM dan Hafiz Tahfiz menerusi TV AlHijrah.

Sementara itu, Aeril memberitahu, walaupun sudah berhijrah dia tidak akan menyekat wataknya dalam sesebuah filem kelak.

“Saya ingin menjadi pelakon versatil dan akan mencuba pelbagai watak. Mendalami ilmu agama sebahagian daripada kewajipan untuk saya memartabatkan agama yang saya anuti.

“Jadi, saya tidak mahu orang lain meletakkan saya hanya akan melakonkan watak ustaz dek kerana perubahan yang saya jalani sekarang,” tegasnya.