Walcott sandaran Arsenal robek Man Utd

LONDON – Pemain sayap England, Theo Walcott tetap menjadi sandaran utama Arsenal pada aksi Liga Perdana England menentang Manchester United di Old Trafford malam esok.

Walcott masih berada dalam perancangan pengurus skuad The Gunners, Arsene Wenger meskipun beliau berada dalam situasi terdesak bagi menghalang pemain itu meninggalkan Stadium Emirates.

Wenger dilaporkan mahu menawarkan kontrak baharu kepada Walcott sebelum akhir bulan ini terutamanya selepas dia meledak hatrik untuk membantu Arsenal bangkit daripada ketinggalan bagi menewaskan Reading 7-5 pada aksi pusingan keempat Piala Liga kelmarin.

Ketika ini, kontrak Walcott, 23, hanya berbaki setahun dan dia dilaporkan telah menolak kontrak lanjutan yang merangkumi gaji berjumlah £75,000 (RM367,797) seminggu yang ditawarkan skuad The Gunners Ogos lalu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sentiasa mahu Walcott kekal di sini (Arsenal).

“Biarpun isu kontrak masih menemui jalan buntu, saya puji sikap profesional Walcott yang sentiasa komited bersama pasukan,” kata Wenger.

Ketika ditanya sama ada persembahan Walcott bakal mempengaruhi kontrak baharu yang ditawarkan Arsenal kepada pemain itu, Wenger berkata: “Saya akan berbincang dengan pegawai kewangan kelab terlebih dahulu.”

Pertemuan antara United dan Arsenal itu pasti mencuri tumpuan terutamanya selepas kedua-dua pasukan menjaringkan serta memboloskan keseluruhan 41 gol sepanjang lapan perlawanan sejak 20 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tumpuan utama pasti terarah kepada penyerang Belanda, Robin van Persie yang akan menjejakkan kaki ke bekas kelabnya itu buat pertama kalinya.

Arsenal perlu merantai pergerakan bekas penyerang yang meledakkan 37 gol untuk skuad The Gunners dalam semua pertandingan musim lalu sebelum menyertai United, Ogos lepas.

Wenger berkata, beliau yakin Walcott mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan van Persie.

“Saya sering memberitahu bahawa dia (Walcott) bakal menjadi seorang penyerang. Jadi, kami perlu lihat gelombang yang sama seperti van Persie. – Agensi