Van Persie tambah derita Arsenal

LONDON – Robin van Persie meledakkan satu gol untuk membantu Manchester United menewaskan Arsenal 2-1 pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam tadi.

Penyerang antarabangsa Belanda itu mengambil masa tiga minit untuk meletakkan United di depan sebelum Patrice Evra menambah gol kedua pada minit ke-67.

Gol sagu hati skuad The Gunners hadir menerusi pemain tengah, Santi Cazorla pada masa kecederaan.

Van Persie, 29, yang menentang Arsenal buat pertama kalinya sejak melengkapkan perpindahan bernilai £24 juta (RM118 juta) ke United, Ogos lalu tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang.

Dia menyumbat masuk gol pendahuluan United selepas pemain pertahanan Arsenal, Thomas Vermaelen gagal menghalang hantaran lintang Rafael.

Jaringan van Persie itu adalah yang ke-10 sepanjang 13 penampilan.

“Satu hari yang istimewa. Ini adalah satu perlawanan yang pantas,” kata van Persie yang tidak meraikan kejayaannya menjaringkan gol itu.

“Saya bertanya kepada diri sendiri kenapa saya tidak meraikan kejayaan itu?

“Saya bermain selama lapan tahun bersama Arsenal dan ia adalah detik yang terindah. Saya perlu menghormati para penyokong, pengurus dan kelab.”

United hampir menggandakan jaringan tetapi sepakan penalti penyerang England, Wayne Rooney gagal menewaskan penjaga gol Arsenal, Vito Mannone.

Kemenangan itu turut membolehkan skuad The Reds merampas kedudukan teratas liga daripada Chelsea selepas mengumpul 24 mata, sembilan mata di depan Arsenal yang menghuni tangga keenam.

Arsenal yang mencatat kekalahan ketiga daripada lima perlawanan terakhir terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Jack Wilshere diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-69.

Wilshere yang membuat penampilan kedua selepas berehat panjang kerana mengalami kecederaan, dilayangkan kad merah setelah mengasari Evra.

Saksikan highlight perlawanan di sini