United mahu layak awal

BRAGA, Portugal – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mahu barisan pemainnya mengesahkan slot ke pusingan kalah mati lebih awal dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Skuad The Red Devils berpeluang untuk merealisasikan matlamat itu jika sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri dengan kelab Portugal, Braga pada aksi Kumpulan H di Stadium Braga Municipal awal pagi esok.

Ferguson berkata, jika ia tercapai, beliau boleh merehatkan tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand. Musim ini, Ferdinand yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 esok terpaksa diturunkan dalam semua perlawanan membabitkan United.

Ia ekoran masalah kecederaan yang dialami oleh tiga lagi tonggak pertahanan United, Nemanja Vidic, Chris Smalling dan Phil Jones yang menyaksikan mereka terpaksa berehat panjang.

Bagaimanapun, kemenangan atau keputusan seri di Portugal sudah menjamin tempat skuad The Red Devils untuk beraksi pada pusingan kalah mati dan sekali gus membolehkan Ferguson melakukan perubahan dalam skuad kendaliannya.

“Perlawanan menentang Braga akan memberi peluang kepada saya untuk menggunakan sepenuhnya barisan pemain yang saya ada. Yang pasti, saya akan melakukan beberapa perubahan.

“Jika kami (United) boleh mencatatkan kemenangan adalah lebih baik tetapi kami mahu memastikan yang kami mara ke pusingan kalah mati terlebih dahulu. “Jika kami berjaya, ia akan memberi pilihan kepada saya untuk menggunakan Smalling dan Jones.

“Situasi itu sekali gus akan membolehkan Ferdinand berehat dan kembali berada pada tahap kecergasan sebenarnya. Sudah pasti selepas itu saya tidak perlu bimbang lagi jika perlu menurunkannya pada perlawanan Sabtu, Rabu, Sabtu dan Rabu.

 “Ia sangat penting kerana saya tidak rasa Vidic akan kembali beraksi sehinggalah hari Krismas, kata Ferguson. Selepas mengharungi tiga perlawanan, anak-anak buah Ferguson kini selesa di tangga teratas carta Kumpulan H apabila mengumpul sembilan mata maksimum.

Kelab Romania, CFR Cluj-Napoca menghuni tangga kedua dengan mengumpul empat mata diikuti Braga, ketiga (tiga mata) dan Galatasaray, keempat (satu mata). – Agensi