UKM juara Liga Bola Sepak IPT 2012

SHAH ALAM – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul juara Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan merangkul Piala Menteri Pengajian Tinggi selepas menundukkan Kolej Komuniti Kedah (KKK) 2-1 pada perlawanan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi.

UKM yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), K. Ruben menguasai hampir keseluruhan permainan, namun ketumpulan barisan hadapan memaksa separuh masa pertama perlawanan berakhir dengan 0-0.

Rentak perlawanan pada babak kedua semakin rancak, namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehinggalah minit ke-89 perlawanan apabila KKK meraih gol pertama menerusi Ku Nazri Azuan Ku Azizan.

Tersentak dengan gol itu, UKM merancakkan serangan dan berjaya menyamai kedudukan dua minit kemudian pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma oleh Reuben yang juga ketua pasukan.

Terikat 1-1 menyaksikan perlawanan dilanjutkan dalam masa tambahan.

UKM meraih gol percuma ekoran salah faham antara pemain pertahanan KKK, Mohamad Nizat Salleh dan penjaga golnya Muhd Muhaimin Mohamad pada minit ke-16 perlawanan.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. – BERNAMA