“Teguran itu pembakar semangat”

Datuk K.Rajagobal bekata teguran Tengku Abdullah menjadi pembakar semangat untuk mempersiapkan pasukan pada tahap terbaik bagi menghadapi Piala AFF Suzuki.

Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal menyifatkan teguran Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan yang kian merosot sebagai pandangan positif.

“Bagi saya, kenyataan itu tidak mengganggu persiapan pasukan kerana saya telah melalui situasi sedemikian dan saya tahu apa yang kita buat.

“Pengurus pasukan kebangsaan (Datuk Seri Subahan Kamal) pun sedar apa yang kita buat dan saya fikir kita masih berada dalam perjalanan yang sesuai sebelum bermula kempen sebenar kejohanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya sempena kejohanan itu oleh Nike Malaysia di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Tengku Abdullah semalam dilaporkan sebagai bertitah bahawa baginda kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya yang semakin merosot terutamanya pada perlawanan persahabatan termasuk kekalahan 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 kepada Thailand, awal bulan ini.

Baginda mahukan Rajagobal berhenti mencuba-cuba pemain sebaliknya menyenaraikan kesebelasan utama terbaik skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan bola sepak rantau Asean dua tahun sekali itu.

Pada masa yang sama, Rajagobal pula mahu peminat bola sepak tempatan tidak terlalu mendesak skuad kebangsaan untuk mencatat keputusan terbaik dalam setiap perlawanan mereka terutama dalam perlawanan persahabatan.

“Tiada ada satu pasukan di dunia yang mencatatkan kemenangan berterusan, jadi saya berharap peminat tempatan melihat ia sebagai suatu perkara yang positif,” katanya.

Mengulas mengenai keenganan beliau mengumumkan senarai akhir 22 pemain yang akan menggalas cabaran negara mempertahankan kejuaraan pada Piala AFF Suzuki, Rajagobal berkata ini bagi memastikan pemain utamanya tidak mengalami kecederaan serius sebelum sepak mula kejohanan.

“(Sehubungan itu), saya memberikan peluang kepada peluang sama rata kepada semua pemain untuk menunjukkan aksi masing-masing kerana saya bimbang tahap kecergasan mereka mungkin berbeza apabila kita memerlukan khidmat mereka dalam sesuatu perlawanan (yang penting),” katanya. – Bernama