Sah! Perak lubuk emas, lebih 3 lokasi dikenal pasti

LEBIH tiga lokasi sudah dikenal pasti! Itu pendedahan awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Perak berhubung penemuan emas yang diyakini berdaya maju untuk dibangunkan di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Kamaludin Hassan berkata, penemuan yang dilakukan melalui kajian ‘Servey Geo-Kimia Rantau’ itu ibarat pembukaan lembaran mineral baru di beberapa lokasi di negeri ini sebagai lubuk emas setelah dahulunya kaya dengan sumber bijih timah.

Malah menurutnya, melalui kajian yang dimulakan sejak 2005 itu juga sudah menemukan mereka kepada 16 keping emas yang sudah diperakui ketulenannya.

Bagaimanapun jelas Dr Kamaludin, kajian selama enam tahun itu sebenarnya hanyalah satu eksperimen permulaan dalam usaha jabatan mengenal pasti sumber mineral baru di Perak.

“Masih banyak kajian dan penyelidikan lebih teliti perlu dilakukan dalam ‘pencarian emas’ ini, namun saya pasti, sekiranya penemuan ini berjaya dibangunkan ia akan menjadi satu lagi sumber pendapatan tambahan ekonomi negeri,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung  penemuan sumber mineral baru di negeri ini seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ikuti temu bual secara eksklusif Dr Kamaludin.

Boleh perjelaskan lebih terperinci bagaimana penemuan emas ini bermula dan sejauh manakah kajian telah dilakukan?

Secara dasarnya, sememangnya kita melakukan tumpuan kajian terhadap emas di negeri ini pada 2005 berdasarkan rekod yang kita peroleh dahulu.

Sebenarnya penemuan emas ini sudah tercatat sejak zaman kegemilangan bijih timah lagi apabila ada sebahagian penduduk yang mendulang bijih menemui butiran emas dalam kandungan bijih berkenaan.

Walaupun ia tidak dicatatkan secara terperinci, kita di jabatan percaya, sumber mineral ini sebenarnya wujud dan hanya memerlukan penyelidikan yang teliti bagi mengetahui sejauh mana kewujudannya.

Ini yang sedang kita lakukan sekarang dan peringkat awal kajian melalui ‘Servey Geo-Kimia Rantau’ sudah membuktikannya. Kita sudah mengklasifikasikan secara rambang beberapa lokasi emas, hanya memerlukan kajian yang lebih mendalam untuk memastikan kawasan lebih tepat.

Sebagai contoh, jika kita mengandaikan penemuan itu di Ipoh, mungkin jadi ia ada di Manjoi, Meru, Menglembu dan sebagainya. Jadi, hanya dengan penyelidikan lebih lanjut dapat menemukan kita kepada lokasi yang lebih spesifik.

Apakah yang dimaksudkan dengan kajian lebih spesifik?
Kajian spesifik di sini bermaksud penyelidikan secara menyeluruh terhadap sesuatu penemuan sumber mineral. Ia termasuklah  dari segi tenaga mahir, keperluan logistik, dana dan sebagainya. Dari segi tenaga mahir dan keperluan logistik, kita di jabatan mungkin tidak menghadapi masalah, namun dari segi dana ia dilihat ada kekangan.

Untuk sesebuah penyelidikan, kos yang kita perlukan agak tinggi kerana ia bukan memakan masa sebulan dua, mungkin 2 hingga 3 tahun lamanya. Perlu diingat, kajian tidak hanya tertumpu di satu lokasi sahaja, tetapi melibatkan seluruh kawasan negeri ini.

Selain menggunakan peruntukan yang disediakan jabatan, kita amat mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat dan pelabur untuk terlibat sama dalam sesuatu penyelidikan. Ia bukan sekadar untuk ‘meringankan’ gerak kerja, namun secara tidak langsung dapat mempercepatkan proses sesuatu penyelidikan itu.

Ini dibuktikan melalui kerjasama yang telah kita lakukan dalam beberapa penyelidikan dan projek sebelum ini seperti kajian terhadap batuan silika. Penemuan baru itu telah menarik minat sebuah syarikat antarabangsa untuk bekerjasama dalam penyelidikan yang sedang dijalankan.

Keadaan ini agak berbeza dengan penyelidikan emas yang boleh kita katakan ‘terhenti’ buat sementara waktu. Setakat ini, tidak ada mana-mana syarikat yang menunjukkan minat mahu ikut serta dalam kajian ini.

Utara Perak antara lokasi

Mungkin boleh dikongsi serba sedikit lokasi yang terlibat dalam kajian ini?

(Ketawa) Apa yang boleh saya katakan, setakat ini sudah lebih tiga lokasi dikenal pasti berpotensi dijadikan perlombongan emas, salah satunya di Utara Perak. Berpandukan kawasan yang dilaporkan ini, kita perlu ‘zoom’ lagi agar dapat ‘memperkecilkan’ lokasi yang terlibat sebelum dijadikan perlombongan.

Adakah emas yang ditemui itu nanti boleh menjadikan Perak antara negeri paling kaya dan bagaimana pula ia boleh membantu peningkatan ekonomi negeri?

Banyak lagi sumber mineral dan galian lain yang terdapat di negeri ini telah menyumbang kepada ekonomi. Tahun lalu sahaja, pengeluaran sumber mineral negeri telah mendapat perolehan sebanyak RM446 juta.

Pengeluaran bijih timah sebanyak 3,079 tan tahun lalu telah menyumbang RM142 juta. Peningkatan nilai jualan bijih timah dari tahun ke tahun ini sebenarnya menunjukkan ia merupakan keperluan tinggi bagi seluruh dunia dan secara tidak langsung telah memberi impak positif terhadap pendapatan negeri.

Situasi sama turut berlaku kepada industri sumber mineral batuan kita apabila perolehan dari kuari batu kapur dan batu granit masing-masing menyumbang RM122.5 juta dan RM113.5 juta. Ini tidak termasuk hasil pasir lombong sebanyak RM65 juta.

Harus diingat, penemuan emas di sesebuah negeri bukanlah asing bagi negara kita apabila sebelum ini Pahang dan Kelantan sudah pun memulakannya. Bagaimanapun, saya optimis sekiranya penemuan metalik mineral ini nanti menjadi projek perlombongan, ia akan menjadi satu lagi cabang pendapatan tambahan kepada Kerajaan Negeri, apatah lagi nilai emas kini tinggi mencecah RM160 per gram.

Sekiranya kajian emas ini menemui kejayaan, apakah perancangan jabatan untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti wujudnya perlombongan haram?

Bercakap soal perlombongan haram, perkara ini sudah lama wujud, paling ketara membabitkan pasir. Dalam hal ini, pentingnya kita bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain yang terlibat terutama Pejabat Tanah dan Daerah dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita mengharapkan usaha jabatan sahaja, ia tidak akan berjaya apatah lagi dengan sumber tenaga yang terhad.

Dalam penilaian kita kini, terdapat 522 pengusaha terlibat dalam perusahaan mineral perindustrian ia termasuklah pasir lombong (141), pasir sungai (76), tanam merah (161) dan batu kapur (36). Secara logiknya, sukar untuk kita memantau setiap aktiviti yang dijalankan, kerana itu perlunya kerjasama daripada setiap agensi yang terlibat.

Kita juga mempunyai akta dan enakmen tersendiri yang bertindak melindungi setiap aset mineral ini. Antaranya, Akta Pembangunan Mineral, Akta Penyiasatan Kaji Bumi dan Enakmen Mineral Negeri.

Kerosakan alam sekitar minimum

Adakah projek kajian dan galian seperti perlombongan emas ini nanti akan memberi kesan kepada alam sekitar?

Dalam mana-mana kajian atau penyelidikan membabitkan perlombongan pasti akan memberi kesan kepada alam sekitar dan struktur bentuk muka bumi sedia ada. Ini fakta yang terpaksa kita terima yang dinamakan satu proses biasa.

Namun, dalam apa juga bentuk perlombongan, ia masih boleh dikawal. Kerana itulah pentingnya kajian mendalam mengenai sesuatu pembangunan baru terutama membabitkan sumber mineral yang mana lokasinya tidak terjangkau. Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan sambil lewa. Sekiranya kita telah mengisytiharkan sesuatu lokasi itu sebagai penemuan penting, tetapi dalam masa sama, terdapat pembangunan lain, maka pertimbangan sewajarnya perlulah dilakukan.

Saya mengambil contoh, jika nilai penemuan sumber yang kita peroleh bernilai RM10 juta, tetapi pembangunan di kawasan itu yang berkemungkinan terdapat kilang perindustrian, perumahan dan sebagainya yang melebihi amaun RM10 juta, maka mungkin lebih baik ia terus dikekalkan sebagai tapak pembangunan, bukannya perlombongan.

Dalam hal ini, perbincangan bersama antara jabatan dan Kerajaan Negeri penting dalam menentukan mana yang perlu diutamakan.

Apa yang boleh dirumuskan melalui penemuan sumber mineral baru ini, lebih-lebih lagi ia kini menarik perhatian banyak pihak terutama rakyat Perak sendiri?

Kita boleh klasifikasi sebagai satu penemuan baru yang boleh dijadikan kebanggaan kepada rakyat negeri ini. Setelah sekian lama Perak terkenal dengan industri lombong bijih timah, kini kita sedang menerokai satu perindustrian lombong baru pula.

Namun seperti yang dinyatakan sebelum ini, kajian terperinci masih perlu dijalankan. Jika kita berjaya, longgokan emas ini pastinya bernilai ekonomi kepada rakyat dan negeri.