Safiq gesa pasukan bangkit

Kapten Harimau Malaya Safiq Rahim menyeru rakan sepasukan untuk mencatatkan keputusan positif dalam perlawanan persahabatan selepas ini.

Safiq menggesa pasukan bangkit dalam pertemuan dengan Hong Kong pada Rabu ini di Stadium Shah Alam bagi mengembalikan semula kepercayaan peminat bola sepak tempatan.

“Saya menyeru rakan sepasukan memberikan keputusan yang baik pada perlawanan itu nanti (menentang Hong Kong) kerana ia merupakan antara ujian awal kita sebelum menghadapi Singapura pada perlawanan pembukaan Kejohanan Piala AFF yang sebenar,” katanya.

Skuad kebangsaan bakal mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Bangladesh pada 20 November ini di Stadium Shah Alam sebelum berdepan Kejohanan Piala AFF Suzuki.

Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki tahun ini, skuad kebangsaan yang muncul juara pada edisi 2010 di Indonesia diundi dalam Kumpulan B.

Mereka bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, Laos pada 28 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.