Rodgers pertahan polisi

LONDON – Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers ternyata berang apabila ada pihak mempertikai polisi pemilihan pemain The Reds bagi menghadapi kempen Liga Europa musim ini.

Awal pagi semalam, Liverpool dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada kelab Rusia, Anzhi Makhachkala hasil jaringan tunggal Lacina Traore pada aksi yang berlangsung di Stadium Lokomotiv, Moscow.

Dalam pertemuan itu, Rodgers tidak menyenaraikan beberapa tonggak utamanya termasuk kapten, Steven Gerrard dan penyerang berbisa, Luis Suarez.

Sebaliknya, Rodgers sekali lagi menyandarkan kepercayaan kepada barisan pemain muda yang puratanya berusia 24 tahun.

“Saya berpendapat ada pihak yang tidak menghormati para pemain saya yang beraksi dalam perlawanan itu.

“Mereka telah memberikan aksi yang begitu baik dan saya berasa pemain-pemain saya melakukan tugas dengan cemerlang, cuma kami dihukum kerana kesilapan kami.

“Jaringan itu menyebabkan kami tewas tetapi saya tidak berpendapat ia ada kaitan dengan (kehilangan) Suarez, Gerrard, Joe Allen, Martin Skrtel atau Daniel Agger yang tidak bersama dalam pasukan.

“Kami harus menerima kekalahan ini sebagai satu pasukan. Sejujurnya, kami akui kecewa tetapi banyak perkara-perkara positif yang dipelajari pada malam ini (awal pagi semalam),” ujar Rodgers.

Sementara itu, pengurus Anzhi, Guus Hiddink mengakui teruja selepas berjaya menebus kekalahan kepada Liverpool di Anfield sebelum ini.

“Liverpool memiliki skuad muda tetapi tidak bermakna mereka tidak memiliki pengalaman dalam saingan Liga Perdana England.

“Mereka mempamerkan aksi yang baik dan taktikal yang bagus. Liverpool juga berjaya menguji skuad kami tetapi kami juga memiliki pemain muda yang berpotensi.

“Jadi ia merupakan satu keputusan yang bagus untuk kami,” ujar Hiddink yang juga bekas pengurus Chelsea. – Agensi