Rebat telefon pintar Januari tahun depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sudah bersedia melaksanakan pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, beliau yakin program itu dapat dijalankan tanpa sebarang masalah berikutan persiapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang sangat baik.

“Kementerian bagaimanapun sedang meneliti makna sebenar istilah ‘smartphone’ yang digunakan dan kadar harga yang melayakkan pembeli menerima rebat tunai.

“Bila perkara tersebut selesai, saya kira tiada hal lagi (untuk pelaksanaan pemberian rebat),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 kementerian itu di Muzium Negara di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 di Parlimen September lepas, mengumumkan pemberian rebat RM200 secara one-off bagi golongan belia membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka. – Bernama