Real Madrid ingin balas dendam

MADRID – Real Madrid ada misi tersendiri pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund di Stadium Santiago Bernabue awal pagi esok.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu mahu membalas dendam ekoran kekalahan 1-2 kepada Dortmund pada aksi ketiga kumpulan di Jerman dua minggu lalu.

Kemenangan itu membolehkan Dortmund merampas kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D apabila mengumpul tujuh mata, satu mata meninggalkan Real di tangga kedua.

Kelab Belanda, Ajax Amsterdam berada di tangga ketiga selepas mengutip tiga mata manakala Manchester City keempat (satu mata).

Justeru, Real menganggap pertemuan dengan Dortmund awal pagi esok sangat penting dalam usaha menamatkan saingan kumpulan tersebut selaku juara.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad The Galaticos dilihat berada pada tahap terbaik.

Buktinya, selepas tewas kepada Dortmund, anak-anak buah Mourinho meledakkan 13 gol dalam tiga perlawanan termasuk ketika menewaskan Real Zaragoza 4-1 pada aksi Liga Sepanyol kelmarin.

Berita gembira turut menghiasi kem Real apabila perancang Jerman, Sami Khedira dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama, sekali gus menerajui jentera tengah pasukan itu.

Khedira terlepas aksi menentang Zaragoza selepas dia mengalami kecederaan otot sejurus kembali daripada tugasan antarabangsa bulan lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu yakin Real mampu mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan D.

“Real tetap akan mara ke pusingan kalah mati bersama satu lagi pasukan. Namun, saya tidak pasti pasukan mana yang akan mengisi satu lagi slot kerana peluang kini terbuka untuk semua.

“Sebagai pemain kelahiran Jerman, sudah pasti saya mengharapkan Dortmund akan layak.

“Dortmund memang berhak kerana mereka mempamerkan aksi konsisten apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Jerman selain beraksi baik pada kempen Liga Juara-Juara musim ini,” kata Khedira.

Jika Khedira masih belum cergas sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Dortmund itu, perancang Sepanyol, Xabi Alonso sudah hampir pasti akan berada dalam kesebelasan utama Real.

Saksikan perlawanan ini di sini dan perlawanan lain di sini