Real himpit Barca, Atletico

MADRID: Selepas permulaan hambar kempen mempertahankan kejuaraan La Liga, Real Madrid kembali menemui sentuhan sebenar dan ketika mereka berdepan cabaran Barcelona yang berterusan melakar kemenangan, pemain pertahanan Sergio Ramos yakin mereka akan terus memberi tekanan terhadap musuh utama itu hingga ke penamat.

Dengan Cristiano Ronaldo sekali lagi berjaya menyumbang gol dan pemain lain kembali menemui prestasi mereka, Real menang empat daripada lima perlawanan terakhir liga dan hanya sekali keciciran mata berikutan keputusan seri di Nou Camp menentang Barcelona.

Pada masa sama, keputusan seri itu adalah perlawanan tunggal yang gagal dimenangi Barca musim ini.

“Cabaran mengejar Barcelona menyuntik semangat dan kami akan terus berjuang merebut kejuaraan hingga perlawanan terakhir musim,” kata Ramos.

“Ada dua pasukan di puncak liga pada masa ini, Barcelona dan Atletico Madrid, namun tugas kami adalah memenangi perlawanan dan memberi tekanan. “Hujung minggu lalu kami berhak menewaskan Mallorca di stadium yang sukar dan membuatkan kami lebih positif.” Real kini berdepan Zaragoza selepas membelasah Mallorca, 5-0 dengan Ronaldo menyumbat dua gol sekali gus menyamai kemenangan 5-0 Barca ke atas Rayo Vallecano dengan Lionel Messi turut menjaringkan dua gol dan bintang Argentina itu masih mengungguli carta penjaring dengan 13 gol. Barca berdepan Celta Vigo awal pagi esok. – AFP