Rajagobal minta pemain fokus

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal berharap anak buahnya dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF ketika isu perpindahan pemain yang membabitkan pemain kebangsaan kini lebih mendapat tumpuan.

Menurutnya, peringatan sudah diberikan kepada pemain dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan terbaik dalam karier masing-masing.

“Saya tidak mahu sentuh pasal perpindahan pemain ini cuma saya percaya pemain-pemain akan dapat menghasilkan keputusan yang baik dalam menyelesaikan kontrak bersama pasukan masing-masing.

“Saya sudah beritahu kepada pemain-pemain supaya memberikan keutamaan kepada kejohanan Piala AFF,” katanya yang akan berlepas bersama 24 pemain skuad kebangsaan ke Hanoi hari ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Vietnam, Sabtu ini.

Isu perpindahan pemain cukup rancak diperkatakan khususnya membabitkan beberapa pemain kebangsaan yang menjadi rebutan beberapa pasukan sebaik kempen Liga Malaysia melabuhkan tirai musim ini.

Antara yang menjadi tumpuan adalah penyerang Norshahrul Idlan Talaha yang berhasrat meninggalkan Kelantan selepas mendapat tawaran lumayan Johor serta kapten Selangor, Safiq Rahim yang juga dikaitkan dengan perpindahan ke skuad Harimau Selatan itu.

Selain itu, beberapa pemain lain juga dikhabarkan sedang melakukan rundingan bagi menentukan pasukan yang akan disertai musim depan sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain pertengahan bulan ini.

Sementara itu, daripada 28 senarai pelatih latihan pusat kebangsaan, Rajagobal hanya menyenaraikan 24 pemain bagi perlawanan menentang Vietnam sebelum berdepan Thailand di Chiang Mai pada 7 November.

Empat pemain yang tidak mendapat tempat itu adalah Yong Kuong Yong, Rizal Fahmi Rosid, Norazlan Razali dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim. “Peluang empat pemain ini masih belum tertutup untuk mendapat tempat dalam skuad kerana mereka akan kembali berlatih bersama selepas kami pulang dari Thailand. Mereka masih berpeluang untuk bermain pada perlawanan menentang Hong Kong (Shah Alam 14 November).

“Saya hanya boleh membawa 24 pemain dan saya akan menilai sejauh mana prestasi pemain ini. Apa yang saya mahukan agar semua pemain buat yang terbaik dalam dua perlawanan ini nanti,” katanya.

Tiga aksi persahabatan yang bakal diharungi Harimau Malaya ini adalah perlawanan pemanas badan sebelum mereka mengharungi kempen Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Laos bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2010