Rajagobal gugur 4 pemain

“PELUANG tidak hanya datang sekali dan saya percaya, khidmat empat pemain yang tidak disenaraikan itu mungkin akan digunakan pada aksi perlawanan menentang Hong Kong, 14 November nanti.”

Itu jawapan jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ketika diminta mengulas pengguguran empat pemain bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi, Vietnam, Sabtu ini.

Semalam, Rajagobal mengumumkan senarai 24 pemain yang akan dibawa ke Hanoi sebagai persiapan bagi menghadapi kempen Piala AFF Suzuki penghujung bulan ini.

Empat pemain yang tidak disenaraikan itu ialah penjaga gol Selangor, Norazlan Razali; pemain sayap Felda United, Yong Kuong Yong dan dua tonggak Kelantan, Mohd. Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.

Rajagobal berkata, meskipun tidak disenaraikan, ia tidak bermakna ‘pintu’ buat mereka untuk kembali membarisi skuad Harimau Malaya sudah tertutup rapat.

“Tidak disenaraikan dalam siri perlawanan persahabatan kali ini tidak bermakna peluang mereka sudah berakhir.

“Ini kerana saya percaya selepas menentang Vietnam, mereka akan kembali bersama kami untuk menjalani latihan.

“Seperti yang saya katakan, tidak mustahil khidmat mereka akan ditagih pada aksi menentang Hong Kong di Shah Alam nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk terus melakukan eksperimen bagi membentuk skuad yang mantap.

“Saya percaya pasukan Laos, Singapura dan Indonesia akan menghantar pengintip untuk memantau perkembangan skuad kebangsaan kita (Harimau Malaya).

“Jadi, kita tidak boleh menunjukkan kekuatan sebenar kita kepada mereka dengan begitu mudah,” katanya.

Selepas bertemu Vietnam, Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Thailand di Chiang Mai pada 7 November ini sebelum menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam.