Petak kereta percuma untuk staf kerajaan

PUTRAJAYA – Kira-kira 1,000 tempat letak kenderaan percuma disediakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Hospital Putrajaya mulai hari ini.

Jumlah tersebut meliputi 450 petak letak kereta berbayar bersebelahan Kompleks Kerajaan Parcel E dan 500 parkir lagi di Aras 2, Park and Ride, Presint 7.

Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas mengambil kira keperluan semua pihak dan bersetuju memberikan kemudahan percuma itu.

“Sebelum ini, tempat letak kenderaan berbayar di Parcel E ini menyediakan sebanyak 550 petak dan kita buat satu keputusan yang baik dengan memberi mereka secara percuma.

“Namun, bagi orang ramai yang mempunyai urusan, mereka dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk satu jam dan sebanyak 100 tempat disediakan buat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.