Penipu internet masuk perangkap

KUALA LUMPUR – Taktik licik satu sindiket yang membeli maklumat sulit pemegang kad kredit daripada pihak tertentu dengan harga murah sebelum berbelanja sakan di internet terbongkar apabila polis memberkas lapan individu termasuk tiga wanita Afrika di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar kecil) berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 28 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima laporan mangsa mengatakan mereka kehilangan wang atas pembelian yang tidak dilakukan pada 19 Oktober lalu.

Katanya, modus operandi sindiket ialah akan mendapatkan nama, kata laluan dan nombor telefon mangsa menggunakan taktik Phishing. Selepas berjaya memerangkap mangsa, sindiket akan membeli maklumat daripada pihak tertentu dengan harga RM61 bagi setiap butiran tersebut.

Phishing ialah menggunakan alamat palsu ke laman utama sesebuah bank.

“Sindiket kemudian akan membeli barangan berjenama atau lain-lain perkhidmatan di internet seperti pakaian, beg, sewa kereta, membayar pelbagai jenis bil dan tas tangan.

“Semua barangan itu akan dijual dengan harga murah kepada rakan atau sesiapa yang berminat. Selain tangkapan, kita turut merampas tujuh buah komputer riba, 15 telefon bimbit, sebuah Ipad, dua buah cakera keras luaran, tiga pemacu pena, sejenis alat yang digunakan untuk membuat panggilan menerusi internet dan dua kad mesin pengeluaran wang automatik,” katanya.

Dalam kes berasingan, Syed Ismail memberitahu, pihaknya menahan lima lelaki Afrika bagi membantu siasatan berhubung kes tipu kononnya menjual beberapa produk berjenama dengan harga murah.

“Suspek berusia antara 27 hingga 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan semalam (kelmarin) selepas polis menerima 15 laporan daripada syarikat terlibat yang mengalami kerugian RM1.86 juta,” katanya.

Ujar Syed Ismail, antara barangan tiruan yang dijual ialah sarung tangan dan pelbagai gajet terkini.

“Mangsa yang terpedaya dengan iklan tipu di beberapa laman web kemudian diarahkan untuk memasukkan wang pendahuluan sebanyak 30 peratus daripada harga yang ditawarkan. Sebaik wang dimasukkan, barangan yang dijanjikan tidak dihantar.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit dan komputer riba yang mengandungi bukti-bukti.