Pengantin rugi RM60,000

KAJANG – Keluarga seorang pemuda terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM60,000 apabila pelbagai kelengkapan untuk majlis perkahwinannya musnah dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Ramal Dalam di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, satu set pelamin, 11 buah khemah, set peralatan audio serta ratusan kerusi dan meja hanyut dibawa arus deras.

Mohd. Nizar Yusalni, 26, berkata, sewaktu kejadian, rumahnya dipenuhi sanak saudara yang sedang bertungkus-lumus menyediakan makanan untuk majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung semalam.

“Hujan lebat bermula pada pukul 6 petang. Apabila air mula naik ke paras betis, saya mengarahkan ahli keluarga supaya memindahkan lauk-pauk ke kawasan yang lebih tinggi.

“Namun, air mengalir terlalu deras menyebabkan kesemua kelengkapan yang lain tidak dapat diselamatkan,” ujarnya ketika ditemui semalam.