Penarik kereta tunda cuba bunuh Ketua Pemuda Umno, dipenjara

KUALA LUMPUR – Seorang penarik kereta tunda dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba membunuh Ketua Pemuda Umno Kepong Datuk Norizan Ali, lebih sebulan lepas.

 
Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azril Ab Shukor, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
 
Manira memerintahkan Mohd Azril menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap 1 Nov lalu.
 
Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Mohd Haswan Hashim, 22, seorang ‘bouncer’ kelab malam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
 
Mohd Azril dan Mohd Haswan didakwa dengan niat bersama menyerang Norizan, 41, menggunakan sebilah parang, menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut, badan dan tangan yang boleh menyebabkan kematian.
 

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Cahaya 2, Ampang pada 2.30 pagi, 24 Sept lalu, mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd Haswan kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat dan membabitkan senjata merbahaya.
 
Nur Hafizah memberitahu mahkamah bahawa insiden itu menyebabkan Norizan mengalami trauma.
 
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
 
Mahkamah menetapkan 5 Dis untuk sebutan kes melibatkan Mohd Haswan. – Bernama