Pegawai bank diculik kekasih

KAJANG – Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak melarikan dan menjerut leher kekasihnya sehingga wanita itu mengalami keretakan pada tulang lehernya manakala kedua-dua belah pergelangan tangannya pula cedera.

Episod malang wanita yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu bermula pada pukul 5.30 petang Rabu lalu apabila mangsa dibawa kekasihnya tidak jauh dari rumahnya di Taman Cheras Awana, Batu 9 di sini.

Ketika berada di dalam kereta suspek, mangsa yang berusia 27 tahun mendakwa dia dipukul sehingga pengsan oleh teman lelakinya yang dikatakan cemburu buta.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila dia dapat melarikan diri ketika cuba dibawa ke sebuah hotel di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 7 malam.

Jarak antara lokasi mangsa diculik dengan hotel tersebut kira-kira 40 kilometer.

Menurut beliau, selepas terlepas daripada kekasihnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam semalam.

Ab. Rashid memberitahu, akibat dipukul mangsa mengalami keretakan tulang leher manakala kedua-dua pergelangan tangannya pula mempunyai kesan dijerut dengan tali.

Mangsa dirujuk ke Hospital Kajang untuk rawatan dan dibenarkan keluar dari wad semalam.

Kata beliau, bertindak atas maklumat, polis menemui kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa ditinggalkan di kawasan Shah Alam sehari selepas mangsa dilarikan.

Menurut beliau, lelaki yang berusia 28 tahun itu kemudian ditangkap di sini pada pukul 7 malam tadi.

Bagaimanapun, polis belum mendapat maklumat penuh mengenai suspek itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.