Optimis pertahan juara Asia Tenggara

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali tetap optimis skuad bola sepak negara mampu mempertahankan Piala AFF yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.

Dua kekalahan aksi persahabatan skuad kendalian Datuk K Rajagobal ketika menentang Vietnam dan Thailand baru-baru ini dianggap perkara biasa bagi Khalid dalam usaha ketua jurulatih negara itu mempersiapkan pemain menghadapi cabaran sebenar.

Namun pemerhati bola sepak tempatan itu menegaskan, beberapa kelemahan ketara perlu segera diperbaiki sebelum sepak mula menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 25 November ini.

“Sebagai bekas pemain saya tetap optimis namun skuad negara tidak boleh mempamerkan corak permainan seperti ketika menentang Thailand kerana lawan jelas sudah mempamerkan peningkatan. Jurulatih perlu memanfaatkan masa yang ada untuk membaikinya sebaik mungkin,” katanya.

Antara kelemahan yang mendapat perhatian Khalid adalah kecuaian pemain negara yang terlalu cepat kehilangan bola hingga menimbulkan masalah untuk menguasai perlawanan dan seterusnya menjaringkan gol.

“Masih terdapat kelemahan lain namun saya percaya jurulatih ada caranya yang tersendiri. “Malah beliau sudah mengeluarkan kenyataan tidak panik dengan dua kekalahan terbabit. Biar beliau baiki kelemahan itu,” katanya.

Malah Khalid menasihatkan pemain negara terus fokus melakukan persiapan kerana semangat berpasukan yang tinggi akan mengatasi semua cabaran dan rintangan.

Skuad negara mempamerkan aksi tidak konsisten sepanjang persiapan menghadapi temasya dwitahunan ini dengan Rajagobal menggunakan pendekatan untuk mencuba pemain dan selepas mencatat kemenangan meyakinkan mengatasi Hong Kong 3-0 pada Oktober lalu, persembahan Harimau Malaya kembali meresahkan apabila kecundang kepada Vietnam (0-1) dan Thailand (0-2) baru-baru ini.

Malaysia yang tampil selaku tuan rumah bersama pada edisi Piala AFF kali ini dan juara bertahan berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Laos bersaing di Kuala Lumpur manakala Thailand, tuan rumah Kumpulan A, disaingi Vietnam, Filipina dan Myanmar. Dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir dan final yang dilangsungkan secara timbal balik pada 19 dan 22 Disember.